Meskipun mengalami dua kekalahan berturut-turut sebelum ini, pengurus AC Milan, Gennaro Gattuso menegaskan bahawa perjuangan pasukan itu untuk mengejar kedudukan pencabar setempat Inter Milan dalam Serie A masih belum berakhir.
AC Milan terlepas peluang memberi tekanan terhadap Inter Milan yang berada dikedudukan ke-3 carta Serie A selepas kelab itu tewas 2-3 pada pertemuan kedua-dua pasukan 18 Mac lalu.
Kemudian I Rossoneri terus ditimpa malang apabila mengalami kekalahan kedua ditangan UC Sampdoria dengan keputusan tipis 1-0.
Masih hidup
Gattuso yang cenderung memiliki sifat karakter seorang pengurus yang tegas dan garang bagaimanapun enggan menunjukkan perasaan kecewa selepas pasukannya gagal memperoleh kemenangan dalam dua perlawanan yang dilalui.
Sebaliknya beliau masih mengakui keputusan itu tidak menjejaskan usaha pasukan untuk terus mengejar kedudukan persaing terdekat dalam liga.
“Kami datang ke perlawanan ini dengan dua keputusan buruk, tetapi pasukan ini masih hidup. Kita sedar akan kesukaran yang sedang dihadapi, tetapi kami masih belum mati.”
“Penyembuh yang tepat untuk segala-galanya adalah kemenangan,” kata Gattuso kepada media menjelang perlawanan ke-30 pasukan bertemu Udinese Calcio, awal pagi esok.
Fokus empat terbaik
Namun, Gattuso meminta para pemain memberikan fokus dan mengambil langkah sewajarnya bagi menempatkan diri dalam kelompok empat terbaik Serie A.
Gattuso tidak mahu pemain memikirkan soal pihak pengurusan sebaliknya mahu pemain fokus membawa AC Milan melayakkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
Pengendali berusia 41 tahun itu sedar segala kemungkinan boleh berlaku dengan persaingan berbaki lagi 9 perlawanan.
“Kami mendayung di atas bot yang sama dan saya masih tenang. Sasaran kami ialah Liga Juara-Juara dan kami semua perlu bersatu untuk menjadikannya nyata.”
“Saya mendengar ada bercakap tentang hubungan saya dengan Leonardo [pengarah sukan Milan], tetapi kami telah berbincang antara satu sama lain,” kata Gattuso.