Kerajaan nampaknya masih tidak membenarkan penyokong yang hadir ke stadium untuk makan dan minum ketika menonton perlawanan bola sepak.
Perkara tersebut disahkan oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menerusi laporan berita dari Berita Harian yang menjelaskan tiga permintaan pihaknya kepada kerajaan tidak diluluskan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam, tiga perkara tersebut adalah menambah jumlah kehadiran penonton ke stadium, membenarkan aktiviti makan dan minum di dalam stadium dan yang terpenting adalah pemain yang positif Covid-19 sahaja yang dikuarantin.
MFL bagaimanapun akur dengan keputusan kerajaan yang menolak semua permintaan tersebut kerana mengambil kira ianya masih belum sesuai untuk dilaksanakan. Tambahan pula dengan kebimbangan peningkatan kes setiap hari sejak akhir-akhir ini.
“MFL perlu juga memastikan keselesaan penyokong bagi membolehkan mereka makan dan minum di dalam stadium, tapi buat masa ini tiada kebenaran untuk memberi kelonggaran kepada peraturan ini,” ujar Stuart ketika ditemui selepas majlis perkenalan penaja baharu Liga Super, Luno Malaysia.
@Khairykj @KBSMalaysia @MFL_MY masuk wayang boleh makan minum, masuk stadium tak boleh. Guna logik akal sikit la kalau nak buat sesuatu SOP. Sehari tak buat orang naik darah tak boleh ke? Nanti jemputan2 VIP pun jangan benarkan makan, minum juga ya. Baru adil.!!!!!!!#SOPBINGAI pic.twitter.com/AixrVQLR5I
— Mohamad Haniff (@TheKacakMan) October 28, 2021
“Kedua, kita meminta juga pertimbangan menggunakan peraturan antarabangsa di mana jika pemain positif kena kuarantin dan yang negatif boleh terus bermain. Kita sudah alami di Piala AFF pun, ada dua individu (pemain) berkongsi bilik tapi yang negatif boleh pergi main dan positif kena kuarantin.
“Peraturan yang kita cadangkan bukan peraturan yang kita cipta sendiri, tapi peraturan yang dilaksanakan di peringkat antarabangsa. Kita juga mendapat jawapan negatif yang mana kita tidak boleh diberi pertimbangan disebabkan oleh peraturan kerajaan.
“Permintaan ketiga iaitu tambahan jumlah penyokong ke stadium yang mana ia sebagai pertimbangan selanjutnya jika dua permintaan itu sudah boleh (dibenarkan).
“Tapi kalau dua ini (permintaan awal) tak boleh, yang ketiga ini tak akan lepas. Kita harap dalam kelonggaran pada masa akan datang, permintaan ini boleh dipertimbang semula. Jadi buat masa ini kita kekal dengan SOP yang dilaksanakan dalam liga musim lalu.