Quantcast

KAJIAN & FAKTA

Gelaran Untuk 5 Trio Penggempur Terbaik Di Eropah Ketika Ini

Penganalisis taktikal ESPN, James Tyler membentangkan analisis beliau tentang 5 trio serangan yang paling berbisa di Eropah buat masa ini. Beliau memberikan gelaran khas kepada trio ini.

1. Liverpool – Pakar Ruang Terbuka

Sistem serangan Liverpool dianggap sangat bagus dalam isu mencipta ruang. Oleh sebab itu Jurgen Klopp tak pernah risau dengan berapa jumlah gol Roberto Firmino. Ini kerana pemain itu adalah kunci utama kepada pembukaan dan penciptaan ruang dalam trio serangan ini.

Firmino sebagai 9 jadian akan turun ke bawah untuk mencipta ruang kepada rakannya di bahagian sayap. Seterusnya, mereka juga sangat licik dalam serangan balas dengan manipulasi ruang yang ada.

Jadi, setiap kali ada ruang terbuka, trio ini sangat pakar dalam memanipulasinya. Firmino menggunakan kekuatan fizikal beliau untuk mengekalkan bola, melakukan linking up serta mencipta peluang gol.

Agak sukar untuk mengenakan perangkap ofsaid kepada trio ini kerana fokal utama mereka Firmino yang terapung (floating) di zon 14.

Salah dan Mane adalah pemain sayap songsang yang keutamaan mereka adalah menjaringkan gol berbanding dengan distribusi. 2 pemain ini sangat laju.

2. Manchester City: Pembunuh dalam kotak penalti

Trio serangan Man. City

Manchester City adalah pasukan yang suka meletakkan seramai mungkin pemain di dalam kotak penalti pada fasa serangan. Musim ini, gandingan Raheem Sterling, Leroy Sane dan Sergio Aguero kelihatan sangat tajam.

Trio ini tidaklah terlalu kreatif, kerana mereka lebih kepada ‘direct player’ apabila menerima bola di dalam kotak penalti, namun mereka sangat tajam dalam menyudahkan peluang.

Guardiola tidak perlu memikirkan isu kreativiti ini pada serangan bertiga beliau kerana di belakang trio ini Man. City ada lambakan pemain yang sangat kreatif. Oleh sebab itu Guardiola pernah memberitahu, beliau mengarahkan Sterling menajamkan aspek penyudah berbanding dengan perkara lain.

Gerakan tanpa bola mereka di dalam kotak penalti sangat baik. Seterusnya, visi pemain tengah mereka yang sentiasa tahu bila masa untuk melepaskan hantaran ke satu ruang untuk diterima trio serangan ini.

Dengan Sane dan Sterling semakin baik dalam aspek penyudah – Manchester City menambahkan lagi sengat mereka di hadapan gol kerana Aguero memang kita semua sudah tahu tahap ketajaman beliau.

3. Paris St-Germain: Gandingan bintang handalan

AFP PHOTO / Patrick HERTZOG (Photo credit should read PATRICK HERTZOG/AFP/Getty Images)

Secara asasnya, gandingan Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani terlalu luar biasa untuk Ligue 1. Trio serangan ini memiliki 3 pemain yang tipikal penyerang penyumbang gol utama dalam mana-mana pasukan sekiranya mereka dipisahkan.

Lihat sahaja statistik mereka dengan pasukan kebangsaan. Trio ini digelar The All-Stars  kerana menghimpunkan bintang terbana dalam arena bola sepak. 3 pemain ini memiliki ego yang tersendiri.

Mereka sudah beberapa kali terpalit dengan isu ego, namun di atas padang, masing-masing menolak antara satu sama lain agar keluar daripada zon selesa.

Selain daripada aspek penyudah – Neymar memiliki kekuatan pada skil di kakinya. Manakala Mbappe pula memiliki kekuatan pada kepantasan dan fizikal. Cavani pula penyerang yang lebih tradisional di antara trio ini. Beliau adalah penjaring terbanyak sepanjang zaman di PSG.

Apabila seorang ataupun 2 orang daripada trio ini bergelut dengan prestasi di atas padang ataupun dikawal dengan baik oleh pertahanan lawan – yang seorang lagi masih mampu memberikan impak yang besar di dalam padang.

4. Barcelona: Pakar ruang sempit (close-control)

Trio serangan Barcelona meraikan gol

Close-control merujuk kepada keupayaan pemain bergerak dalam ruang sempit. Anda pasti terus terbayang kepada Iniesta dan Lionel Messi yang pakar menyelit dengan kawalan bola mereka yang ‘melekat’. Ianya memang sudah menjadi DNA untuk Barcelona sejak dahulu lagi.

Trio serangan Coutinho-Suarez-Messi ini memiliki keupayaan yang sangat tinggi untuk bergerak dalam ruang yang padat. Bak kata Jim Beglin, mereka ibarat boleh masuk ke dalam lubang jarum sekalipun.

Sistem mereka adalah berasaskan pertukaran hantaran dan juga keupayaan inividu yang tinggi untuk mencipta dan menyudahkan gol.

Suarez memiliki keupayaan menggelecek dan gerakan tanpa bola yang sangat sukar untuk dihentikan. Beliau seperti sangat semulajadi di garisan akhir pertahanan untuk bertindak pada masa tepat dan mengelak ofsaid.

Coutinho pula licik dan memiliki keupayaan untuk mencipta gol dengan pelbagai cara. Sama ada menerusi hantaran lolos, ataupun hantaran lintang. Pastinya beliau berterima kasih kerana pernah bermain di EPL untuk meningkatkan aspek hantaran lintang.

Lionel Messi pula tak perlu diceritakan panjang lebar. Beliau boleh menentukan nasib pasukan beliau di tangannya seorang diri. Pemain yang dikurniakan kepantasan, visi, penyudah serta kelicikan. Trio ini sudah mencipta secara langsung hampir 100 gol (termasuk jumlah jaringan dan assist) di antara mereka.

5. Tottenham: Gandingan Super

Trio serangan Spurs; Dele Alli-Eriksen-Kane

Walaupun Harry Kane adalah tipikal penyerang yang agak tradisional, namun Spurs bukanlah pasukan yang mencipta sistem serangan klasik.

Trio serangan utama mereka adalah Dele Alli-Kane-Eriksen. Berbanding dengan 4 pasukan yang di atas, Spurs adalah pasukan yang lebih memerlukan kesemua pemain dalam trio ini berada dalam padang untuk mendapatkan hasil terbaik.

Trio ini ada kemampuan untuk menepati kehendak perlawanan dan perubahan taktikal. Mereka boleh berhadapan dengan lawan yang fizikal ataupun lawan yang bermain ‘high pressing’. Kane adalah penyerang yang sangat ‘direct’, beliau akan cuba melakukan percubaan gol daripada apa jua keadaan.

Sejak 2015/16, Spurs memiliki ratio kemenangan 64% apabila 3 pemain ini bermain bersama. Dalam tempoh yang sama, apabila salah seorang daripada trio ini tidak beraksi, peratusan kemenangan Spurs jatuh kepada 50%.

Jelaslah trio ini akan membentuk gandingan super apabila bersama. Dan mereka akan bergelut untuk memberikan aksi terbaik apabila salah seorang daripada mereka tiada di dalam padang.

Rumusan

Bukan perkara yang mudah untuk menghasilkan trio serangan yang mantap. Ia memerlukan jurulatih dan para pemain bekerja keras termasuk pemain daripada bahagian lain.

Mereka biasanya akan saling melengkapi antara satu sama lain ketika di dalam padang.