‘Cucuk atap’ merujuk kepada memberi saingan kepada ‘top 3’ Liga Super 2022 dan Negeri Sembilan FC yang kurang diberikan publisiti dijangka bakal menjadi pasukan yang berada di saingan atasan liga musim ini.
Sengaja diwujudkan frasa ‘cucuk atap’ kerana mereka mampu menusuk ke saingan teratas Liga Super 2022.
‘Top 3’ musim lalu adalah Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC dan Penang FC. Untuk mengejar JDT mungkin sukar, namun, kualiti skuad Jang musim ini boleh kitakan setara atau mungkin lebih daripada beberapa pasukan sedia ada di Liga Super seperti Kedah, Penang dan juga Terengganu FC – ia bukan satu yang mustahil.
Paling kurang, jika tidak mencabar ‘top 3’ sekalipun, Negeri Sembilan mungkin mampu untuk berada di kalangan ‘top 5’ musim ini. Apa kelebihan yang mereka ada? Kan baru sahaja meraih ‘tiket’ promosi ke Liga Super?
Senarai pemain yang mampu beri cabaran
Melihat senarai pemain Negeri Sembilan musim ini boleh membuat kita melengung sebentar. Bagaimana skuad yang baru dinaikkan pangkat ke saingan tertinggi Liga Malaysia (Liga M) mampu memiliki pemain-pemain yang boleh dikatakan agak baik di saingan tempatan? Tak lain dan tak bukan, mungkin juga tarikan aura K. Devan.
Hanya 12 pemain musim lalu yang membawa mereka menjuarai saingan Liga Premier dikekalkan K. Devan.
“Kita bawa masuk pemain yang berpengalaman di Liga Super termasuk import. Kita mahu memilih pemain yang mampu beri impak kepada pasukan kerana kita mahu kekal lebih lama di Liga Super.
K. Devan
Paling menarik perhatian adalah bek tengah Sri Pahang, Herold Goulon antara yang berjaya dipancing mereka. Ini bakal memberikan impak berkesan kepada benteng pertahanan skuad Jang pada musim pertama mereka.
Seorang lagi bekas pemain Sri Pahang, Matheus Alves yang beraksi pada musim 2017 juga dibawa masuk dari kelab K-League 2, Korea Selatan, Chungnam Asan FC. 18 gol dalam 21 penampilan pemain ini menjadikannya sebagai bakal senjata utama bersama seorang lagi import baharu, Kossi Adetu di Negeri Sembilan selepas ini.
Untuk pemain tempatan mereka memiliki penjaga gol yang membuat debut skuad kebangsaan di usia 17 tahun, Syihan Hazmi, Khair Jones, Nasrullah Haniff, A. Namathevan, K. Sarkunan dan juga penyerang, Sean Selvaraj.
K. Devan Yakin Matheus Alves Boleh Gegar Liga Malaysia Sekali Lagi
Impak yang dibawa Matheus Alves
Merupakan penjaring kedua terbanyak dalam musim debut di Liga Super bersama Pahang pada 2017 dengan 18 gol, Matheus Alves membawa Tok Gajah untuk berada di kedudukan ke-2 Liga Super, di belakang JDT.
Dibezakan sembilan mata berbanding JDT, ia merupakan antara musim terbaik mereka sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Impak yang dibawanya amat besar walaupun hanya semusim bermain di Darul Makmur.
Jika dilihat dalam dua aksi terakhir pra-musim mereka, gandingan Kossi Adetu dan Matheus Alves telah diletakkan terutamanya ketika menundukkan KL City FC. Mungkin ini adalah gambaran jentera serangan mereka. Kedua-duanya telah mencetak nama selaku penjaring sepanjang persediaan pra-musim ini.
Apa kata K. Devan tentang mengapa Matheus Alves yang jadi pilihannya? “Saya lihat dia [Alves] ada kualiti seorang penyerang yang dimahukan [Negeri Sembilan] iaitu bertubuh besar, laju dan kuat dari segi fizikal.”
Lonjakan terbaik atasi KL City
Negeri Sembilan telah melalui sembilan perlawanan pra-musim dan menang lima daripadanya. Skuad Jang hanya tewas sekali dan seri tiga kali. 12 gol telah dicetak dan hanya empat gol dibolosi untuk sembilan aksi.
Berikut merupakan keputusan aksi pemanas badan skuad kendalian K. Devan yang dijalankan sejak Januari:
vs UiTM FC (menang 1-0: Kossi Adetu)
vs KL City (menang 2-0: Matheus Alves, Herold Goulon)
vs Kuching City (menang 6-1: Matheus Alves 2x, Zaquan Adha, Goulon, Kossi, Sean)
vs Perak FC (seri 0-0)
vs Selangor FC 2 (menang 1-0: Mawutor)
vs Selangor FC (kalah 0-2)
vs Kelantan FC (seri 1-1: Nasrullah)
vs ATM (menang 1-0: Zaquan)
vs KSR Sains FC (seri 0-0)
Jika dilihat, 12 gol yang diledak daripada sembilan aksi adalah prestasi yang baik oleh jentera serangan dengan ratio 1.33 gol dalam satu perlawanan. Malah, semua penyerang mereka telah berhasil mencetak gol. Malah, prestasi pertahanan dan penjaga gol mereka juga bukan biasa-biasa – hanya dibolosi empat gol sahaja.
Walaupun aksi pemanas badan bukanlah kayu ukur sebenar kemampuan mereka, namun kemenangan ke atas KL City dalam aksi pemanas badan tentunya memberi lonjakan motivasi yang baik untuk semua pemain.
Mereka bakal berdepan Sabah FC dan Terengganu FC dalam dua aksi awal Liga Super dan inilah ujian sebenar kemampuan anak buah K. Devan berdepan pasukan atasan liga dalam perlawanan kompetitif sebenar.
Penutup
Berdasarkan tiga sebab di atas selain sentuhan pengendali berpengalaman, K. Devan, tentunya cabaran yang dibawa oleh Negeri Sembilan kali ini tidak boleh dipandang sepi. ‘Gegaran’ yang bakal dibawa Matheus Alves dijangka memberi lonjakan terbaik buat Negeri Sembilan dalam musim pertama mereka kembali ke Liga Super.