Legenda Manchester United, Gary Neville yang merupakan anggota ‘Class of ’92’ nyata gembira melihat peluang luas diberikan pengurus The Red Devils, Ole Gunnar Solskjaer terhadap pemain muda untuk membuktikan kemampuan mereka.
Peluang diberikan pengendali kelahiran Norway itu disambut baik Neville yang turut menganggap Manchester United tidak boleh bermain tanpa pemain akademi dalam skuad utama mereka.
Class of ’92 menjadi indikasi jelas kenyataan Neville itu apabila pemain-pemain lepasan akademi pada ketika itu seperti David Beckham, Paul Scholes, Ryan Giggs, Neville sendiri serta beberapa pemain lagi telah menjadi nadi kepada kekuatan United pada era kegemilangannya.
Musim 2019/20 menyaksikan Solskjaer telah memberikan lebih peluang buat pemain-pemain muda seperti Scott McTominay dan Mason Greenwood untuk menonjolkan keupayaan diri selain daripada Marcus Rashford yang sudah pun terbukti kemampuannya.
Selain itu, Solskjaer turut pernah memberikan peluang kepada enam pemain akademi United untuk membuat penampilan sulung di pentas senior ketika aksi bertemu Astana dalam kempen Liga Europa.
Enam pemain yang dimaksudkan ialah Di’Shon Bernard, Ethan Laird, Dylan Levitt, D’Mani Mellor, Ethan Galbraith dan Largie Ramazani.
”Manchester United tidak boleh beraksi tanpa pemain akademi dalam skuad utamanya. Nilai yang terlalu penting kerana perkara tersebut sudah berlaku sejak tahun 1950 lagi.”
”Saya rasakan Manchester United telah memenangi Piala Remaja untuk lima atau enam tahun dengan Bobby Charlton memenanginya tiga atau empat daripadanya.”
”Saya merasakan sejak dari awal lagi akademi sangat penting buat kelab ini dan itulah prinsipnya,” ujar Neville menurut laporan Goal.
”Walaupun hanya memikirkan tentang perkara yang remeh seperti ‘Blazer’ kelab di Manchester United yang dipakai oleh Busby Babes, anda masih melihat para pemain Manchester United memakainya sehingga ke hari ini.”
”Anda mesti memastikan perkara ini tetap sama dilakukan.”
”Kita tahu bahawa teknologi semakin berkembang dan nutrisi, sains sukan, segalanya bergerak ke hadapan tetapi beberapa perkara perlu kekal stabil.”
‘Adalah penting untuk kita melihat nilai ini terus diamalkan di kelab ini, oleh Ole Gunnar Solskjaer, yang merupakan pengurus skuad utama,” tambah Gary Neville lagi.