Musim 2018/19 mungkin antara detik paling menghampakan buat karier bola sepak kapten Chelsea, Gary Cahill apabila beliau teruk disisihkan oleh pengurus pasukan, Maurizio Sarri.
Secara terbuka beliau menjelaskan bahawa Sarri tidak langsung menghormati pemain yang telah membantu pasukan sebelum ini.
Musim yang suram bersama Chelsea memaksa pertahanan tengah itu meninggalkan pasukan secara percuma pada musim hadapan.
”Ia sangat mengerikan buat saya secara peribadinya. Ia hanya akan dapat dipadamkan dari ingatan apabila saya meninggalkan Chelsea.”
”Memori terakhir saya adalah pada perlawanan akhir Piala FA musim lalu (menewaskan Manchester United).”
”Ia menjadi sangat sukar. Saya telah beraksi secara konsistan sejak enam musim lalu dan saya telah memenangi segalanya bersama Chelsea, jadi hanya menyaksikan permainan dari tempat duduk penonton bukanlah sesuatu yang saya jangkakan.”
”Saya tahu bagaimana kelab ini bekerja, saya mempunyai hubungan yang cukup baik bersama semua pemain dan kakitangan pasukan, namun tiada satu pun yang digunakan.”
”Jika anda tidak menurunkan seorang pemain, mana-mana pemain untuk dua, tiga atau empat perlawanan, anda tidak perlu untuk memberikan sebab untuk itu.”
”Tetapi sekiranya sudah mencapai lapan atau sembilan perlawanan, anda perlu untuk menjelaskan situasi tersebut. Apa yang sedang berlaku?”
”Tetapi pengurus tidak melakukan sedemikian. Saya melihat beberapa situasi dengan pemain yang telah memenangi piala bersama Chelsea, bukan hanya saya seorang dan ia tidak betul.”
”Ia membuatkan sangat sukar buat saya menghormati seseorang yang tidak menghormati kami yang telah memenangi piala bersama kelab ini.”
Gary Cahill yang bersama Chelsea sejak musim 2011/12 berjaya membantu kelab London itu menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah pada musim sulungnya bersama pasukan.
Selain itu, beliau turut menjadi tonggak buat Chelsea memenangi Liga Europa 2012/13, Liga Perdana Inggeris 2014/15 & 2016/17 serta Piala FA 2011/12 dan 2017/18.