Pengurus skuad The Three Lions, Gareth Southgate mengaku dirinya sama sekali tidak akan terkejut jika mendapat perkhabaran yang Harry Kane dapat pulih lebih awal dari kecederaan yang dialaminya.
Penyerang England dan Tottenham Hotspur itu terpaksa disisihkan akibat mengalami kecederaan di bahagian ligamen buku lali kiri ketika perlawanan Spurs menentang Manchester United awal pagi Isnin lalu.
Selepas perlawanan, pasukan perubatan kelab mengesahkan yang Kane dijangka akan kembali cergas sepenuhnya pada awal Mac.
Lebih awal
Bagi Southgate, beliau amat mengenali sikap Kane dimana pemain itu akan berusaha melakukan segala-galanya untuk pulih dari kecederaan.
Menurutnya, setiap pemain jelas akan kecewa apabila cedera, namun tidak bagi Kane. Southgate percaya penyerang berusia 25 tahun itu akan mengembalikan semula harapan penyokong dengan pulih lebih cepat dari jangkaan.
“Kecederaan sangat mengecewakan bagi mana-mana pemain kerana mereka akan terlepas beberapa pertandingan, dan terutama sekali bagi Harry (Kane) yang ingin bermain dalam setiap perlawanan dan mempunyai misi untuk mencetak gol dalam setiap perlawanan,” kata Southgate menerusi Sky Sport.
“Melihat dari segi pemikirannya, dia sentiasa akan melihat kalendar di dinding dan pastikan dia dapat pulih lebih cepat daripada apa yang ramai pihak meramalkan.”
Perlu berehat
Bagaimanapun, kecederaan Kane dinilai seolah-olah tidak akan dapat pulih dengan kadar segera. Kane sebelum ini bermain terlalu banyak pada musim lalu.
Beliau bermain bersama Spurs dalam 48 perlawanan, dan juga 11 perlawanan untuk pasukan kebangsaan. Manakala untuk musim ini sahaja, Kane sudah bermain 36 perlawanan untuk kelab dan negaranya.
“Dia telah melalui banyak pertandingan sejak dua tahun lalu dan pada akhirnya (kecederaan) tidak dapat dielakkan, tubuh mesti menjaga dirinya sendiri. Itu memberi pertanda bahawa badan anda perlu untuk berehat.”
“Dia perlu menggunakan masa rehat itu dengan bijak dan saya faham bahawa dia sentiasa fokus untuk pulih dengan secepat mungkin.”