Gareth Southgate telah membuat keputusan untuk tidak mengikut polisi sebagaimana yang pernah dibuat oleh bekas pengurus skuad England, Roy Hodgson sebelum kejohanan utama.
Southgate memberikan seminggu tempoh bercuti kepada para pemainnya selepas tamat saingan liga domestik, berbanding Hodgson yang mengadakan kem latihan sejurus musim tamat.
Para pemain pada ketika itu juga telah diminta menyerahkan pasport masing-masing bagi menunjukkan komitmen mereka kepada persediaan pasukan untuk saingan Euro 2016.
Dikatakan Hodgson bimbang dengan tahap kecergasan para pemain jika mereka diberikan masa untuk bercuti bersama keluarga masing-masing selepas tamat saingan liga.
Southgate telah memberikan seminggu ‘time off’ buat para pemainnya yang tidak terlibat dengan perlawanan akhir Piala FA dan juga Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
Semua pemain-pemain tersebut telah diminta untuk melaporkan diri semula pada Isnin nanti di pusat latihan skuad kebangsaan England yang bertempat di St George’s Park.
Sementara itu, bagi yang terlibat seperti Manchester United dan Chelsea akan dibenarkan bercuti pada minggu hadapan selepas tamat final Piala FA pada 20 Mei ini.
Untuk finalis UCL, para pemain England di dalam skuad Liverpool pula akan mula bercuti selepas tamat final UCL yang dijangka berlangsung pada 27 Mei ini.
Melihatkan situasi ini, England hanya akan dibarisi oleh skuad penuh mereka sebelum perlawanan persahabatan terakhir menentang Costa Rica pada 7 Jun depan.
England akan terlebih dahulu melayan kunjungan Nigeria bertempat di Stadium Wembley untuk aksi persabahatan pada 2 Jun depan tanpa skuad penuh.
FA England juga akan membuat satu program khas untuk melihat tahap kecergasan dan pemulihan para pemain sebelum mereka dijangka berangkat ke St Petersburg pada 12 Jun.
Penyerang sensasi England, Harry Kane menyambut baik langkah pengurusnya itu sambil menyatakan ia (cuti) adalah sesuatu yang terbaik buat mereka untuk menyegarkan minda.
“Banyak yang telah kami lalui sepanjang musim ini, samaada ketika bersama kelab mahupun skuad kebangsaan, jadi kami perlukan masa untuk berehat.
“Untuk saya, mungkin saya akan menjauhkan diri dari segalanya, tinggalkan telefon di dalam rumah dan hanya bersantai serta menghabiskan masa bersama yang tersayang,” ujar Kane.
Selain itu, Southgate dijangka akan mengumumkan senarai 23 pemain untuk Piala Dunia 2018 pada esok dengan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) menetapkan 4 Jun sebagai tarikh akhir untuk menghantar senarai penuh pemain.