Garapan Kim Swee Yang Menjadikan Park Tae-su ‘Senjata’ Unik Sabah

Park Tae-su 'senjata' unik Sabah 2022

Selepas empat kali bertukar ganti pengendali, akhirnya Datuk Ong Kim Swee yang berjaya menggarap pemain tengah bertahan Sabah FC, Park Tae-su sebagai ‘senjata’ rahsia waima beliau bukan berstatus penyerang.

Beliau juga bukan pemain tengah menyerang. Disebabkan itu, namanya kurang menjadi tajuk utama media di Liga Malaysia (Liga M). Biasalah, hanya yang menyerlah dan meledak gol akan didendang di Malaysia. Bagi pemain lain, jarang-jarang sekali mereka mendapat liputan disebabkan kurangnya data dan statistik liga.

6 gol musim 2022 – mengatasi rekod tiga musim sebelumnya

Musim 2022, musim kedua di bawah kendalian Kim Swee, Park Tae-su menjadi taruhan terbaik sebagai ‘senjata’ rahsia mereka. Beliau telah berhasil meledak enam gol dalam 11 perlawanan, lebih tepat, 963 minit permainan.

Tiada siapa yang menjangka, Park akan jadi sebagai antara peledak utama The Rhinos musim ini. Sebagai pemain tengah bertahan, beliau dijangka akan melakukan kerja biasanya, melindungi benteng dan mencatas gerakan-gerakan lawan. Jika bermain di posisi bek tengah, bila ketiadaan Jackson, tugasannya lebih bertahan.

Bagaimana Kim Swee mampu menggarapnya menjadi antara penjaring gol yang konsisten musim ini?

Park jelas memiliki kualiti untuk melakukan sentuhan gol yang gagal ditemui pengendali sebelum ini.

“Park kerja keras ketika sesi latihan”, Kim Swee tentangnya

Pemain yang mesra dipanggil Karim dikalangan penyokong Sabah ini pernah berkhidmat di bawah kendalian empat jurulatih iaitu Jelius Ating, Kurniawan Dwi Yulianto dan Burhan Ajui sebelum kehadiran Kim Swee.

Selama tiga musim, beliau hanya meledak lima gol. Tiada pengendali yang tahu memanfaatkan kemampuan uniknya. Hanya Kim Swee yang menggunakan sebaiknya kemampuan Park dalam situasi bola mati musim ini.

Kim Swee ketika mengulas kebangkitan pemain kelahiran Korea Selatan itu turut gembira dengannya.

“Park [Tae-su] sangat berbeza berbanding dirinya musim lalu. Dia bekerja keras ketika latihan dan sangat bermotivasi tinggi. Dia memiliki mentaliti pemain Korea yang bersaing untuk tempatnya dalam pasukan. Jadi, saya gembira dengannya dan apabila kita ada pemain utiliti sepertinya, ia sangat membantu.”

Jelas, hasil kerja kerasnya dalam sesi latihan, beliau telah banyak kali membantu The Rhinos musim ini.

Dua perkara unik tentang pemain tengah ini adalah beliau mampu mencetak gol yang tidak disangka dan beliau boleh bermain di posisi bek tengah selain tengah bertahan. Selain itu, beliau juga acap kali membantu jentera serangan dalam sesetengah situasi. Gandingannya bersama Baddrol Bakhtiar semakin menyerlahkan dirinya.

Beliau juga memiliki permainan yang bagus apabila terlibat di atas dengan lima golnya dihasilkan di kawasan final third. Ini menunjukkan beliau tidak hanya bertugas melindungi benteng tetapi turut membantu jentera serangan. Adakah persefahaman jitunya bersama Baddrol menjadikannya pemain yang berbeza musim ini.

Park Tae-su, pakar tandukan dan situasi bola mati atau set-pieces

Dalam saingan Liga Super, beliau telah meledak enam gol dan merupakan yang tertinggi di kalangan pemain-pemain Sabah. Beliau berada dalam carta penjaring terbanyak bersama Bergson yang merupakan pendahulu dan uniknya beliau bukanlah seorang pemain yang bersifat menyerang. Di atasnya, semua adalah penyerang.

Park hanya meledak gol menerusi dua situasi iaitu tandukkan dan juga sepakan percuma menerusi situasi bola mati. Separuh daripada golnya musim ini adalah menerusi tandukkan dan bakinya menerusi sepakan percuma.

Dua daripada sepakan percumanya adalah menerusi direct freekick yang menurut pemerhati dan pengumpul statistik Liga M, Don K-Rul Izham, adalah sangat jarang sekali dilakukan oleh seorang pemain tengah bertahan. Lihat sahaja jaringan menariknya ketika menentang PJ City FC yang turut dikongsi oleh laman Twitter FIFA.

“Menjaringkan gol menerusi sepakan percuma bukan nasib semata-mata, anda harus mempunyai teknik dan latihan ‘extra’ dalam sesi latihan.”

Ia selari dengan kenyataan Kim Swee yang Park merupakan pemain yang bekerja keras ketika sesi latihan.

Menariknya, Park sudah empat musim beraksi di Sabah dan ia merupakan pasukan paling lama beliau bertahan sepanjang kariernya sejak 2011. Beliau juga fasih berbahasa Melayu – selepas belajar daripada rakan-rakannya, dek kerana masalah komunikasi setibanya di Malaysia disebabkan beliau tidak boleh berbahasa Inggeris.

Park Tae-su adalah definasi pemain import yang memberikan segalanya buat pasukan dan berbaloi untuk dimiliki oleh mana-mana pasukan di Malaysia. Beliau kini adalah pemain kesayangan para penyokong The Rhinos, malah ada dikalangan penyokong yang mahukan beliau ditawarkan kontrak seumur hidup di Sabah!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN