Dua gol yang dijaringkan oleh Bruno Fernandes memastikan tiket ke pusingan akhir Piala Dunia 2022 menjadi milik Portugapl selepas menewaskan Macedonia Utara dalam aksi playoff.
Fernandes yang berjaya merampas bola di tengah padang bermain hantaran satu dua dengan rakan sepasukannya di Manchester United yang juga kapten pasukan Cristiano Ronaldo sebelum melepaskan rembatan untuk meletakkan Portugal di hadapan pada minit ke-32.
Beliau kemudian menambah gol keduanya pada minit ke-65 selepas menerima hantaran lintang Diogo Jota hasil dari gerakannya yang dimulakan sendiri olehnya.
Macedonia Utara yang mengejutkan Itali tempoh hari nampaknya gagal untuk mengulangi persembahan ‘jiwa pahlawan’ mereka dan terpaksa akur dengan lawan yang ternyata lebih baik sepanjang perlawanan.
Malah penjaga gol A Seleção, Diogo Costa langsung tidak diuji dengan sebarang percubaan tepat sepanjang 90 minit perlawanan.
Portugal mara ke pusingan akhir Piala Dunia buat kali keenam dan yang kelima berturut-turut sejak era Ronaldo dan Qatar 2022 mungkin edisi terakhir buat penjaring gol antarabangsa terbanyak sepanjang zaman berkenaan.