Hanya kerana satu gambar yang dianggap ‘misteri’ dikongsi oleh media rasmi Johor Darul Ta’zim (JDT), JOHOR Southern Tigers (JST), timbul spekulasi kelab itu kini bakal mendapatkan seorang pemain baharu.
Koleksi gambar sesi latihan skuad utama JDT yang dikongsi di media sosial pada Sabtu lalu pantas mendapat perhatian penyokong setia Harimau Selatan apabila gambar seorang lelaki menggunakan jaket windbreaker biru turut disertakan.
Anehnya, gambar itu hanya memaparkan bahagian belakang individu tersebut. Gambar tersebut pantas mencetuskan pelbagai spekulasi adanya pemain baharu bakal menyertai juara Liga Super lapan kali berturut-turut itu menjelang jendela perpindahan kedua yang akan mula dibuka pada 28 Mei hadapan.
Berdasarkan komen oleh pengguna media sosial di muat naik tersebut, ada yang bertanggapan lelaki tersebut adalah Liridon Krasniqi yang akan kembali menyertai pasukan itu selepas tempoh pinjaman bersama Odisha FC tamat.
Malah ada yang membuat spekulasi beliau adalah Gonzalo Cabrera yang bakal kembali menyertai pasukan itu atas kapasiti sebagai salah seorang anggota kejurulatihan JDT.
Turut tidak ketinggalan dikaitkan dengan gambar tersebut adalah pemain warisan dan anggota skuad Harimau Malaya, Dion Cools.
Malah gambar lelaki menggunakan jaket windbreaker biru itu turut kelihatan dalam beberapa foto lain yang dikongsi oleh JST. Namun identitinya tidak dapat dipastikan kerana kurang jelas.
Di sebalik pelbagai spekulasi yang ditimbulkan oleh peminat, kami percaya individu tersebut sebenarnya adalah salah seorang anggota kejurulatihan skuad utama JDT.
Ini kerana beliau tidak memakai jersi latihan seperti yang dipakai oleh pemain-pemain JDT yang lain ketika sesi latihan diadakan.
Selain Benjamin Mora, JDT turut dibantu oleh beberapa pembantu jurulatih asing lain seperti Giancarlo Salazar, Jorge Alavarez dan Rodrigi Inigo.
Ini bermakna gambar tersebut mungkin salah seorang daripada mereka, dan bukannya pemain baharu seperti yang didakwa.