Gol tunggal Safawi Rasid menerusi sepakan penalti pada babak kedua memastikan Malaysia meraih kemenangan penting mengatasi Thailand 1-0 dalam aksi terakhir pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Al-Maktoum, Dubai.
Kemenangan ini sekurang-kurangnya memberi kelegaan kepada skuad Harimau Malaya yang dikritik hebat susulan deretan kekalahan sepanjang trip ke timur tengah.
Turun dengan misi wajib menang bagi memudahkan laluan ke Piala Asia, Tan Cheng Hoe melakukan enam pertukaran berbanding aksi berdepan Vietnam tempoh hari.
Ketiadaan tiga pemain yang digantung perlawanan Corbin Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh ditampung oleh Syahmi Safari, Nazmi Faiz dan Akhyar Rashid.
Arif Aiman diberi peluang untuk diturunkan sebagai kesebelasan utama buat kali pertama menggantikan Safawi Rasid.
Tugasan mengawal benteng terakhir pula digalas oleh Khairul Azhan menggantikan Farizal Marlias.
Malaysia mungkin berpeluang untuk menang dengan jaringan yang lebih besar, namun dikecewakan dengan kecekapan penjaga gol Thailand, Chatchai Bootproom yang tangkas menafikan beberapa percubaan pemain negara.
Penyokong Malaysia ternyata tersentak dengan jarigan Suphanat Mueanta pada minit ke-35, namun lega apabila gol tersebut dibatalkan selepas beliau berada pada kedudukan ofsaid.
Saat yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-52 selepas Safawi yang masuk sebagai pemain gantian menyempurnakan sepaan penalti selepas beliau dijatuhkan oleh Ernesto Phumipha.
Kemenangan berharga ini meletakkan Malaysia menamatkan saingan di tangga ketiga dengan mengumpul 12 mata hasil empat kemenangan dan empat kekalahan.
Dalam satu lagi aksi kumpulan G, Vietnam dikecewakan dengan kekalahan 3-2 kepada UAE dan sekaligus dipintas oleh negara timur tengah itu pada saat akhir selepas sekian lama mengungguli kumpulan.
Baca juga artikel kami yang lain mengenai skuad kebangsaan:
“Ayuh Lakukan Demi Coach Tan” – Harimau Malaya Sedia Gempur Vietnam