Tidak dapat kita nafikan, bola sepak merupakan sukan yang paling digilai di seluruh dunia.
Walaupun begitu, di beberapa negara bola sepak bukanlah sukan utama bagi mereka.
Seperti contoh Amerika Syarikat lebih mengangkat bola keranjang dan hoki ais sebagai sukan utama mereka manakala Cuba menjadikan bola lisut (baseball) sebagai sukan utama mereka.
Begitu juga di Ireland, bola sepak bukanlah sukan utama mereka.
Walaupun mereka mempunyai lambakan pemain bola sepak berkualiti tinggi yang beraksi di England dan Scotland serta mempunyai kelompok penyokong yang paling menghiburkan setiap kali kejohanan antarabangsa dilangsungkan, bola sepak bukanlah perkara utama mereka.
Di Ireland, permainan gaelic football merupakan sukan utama mereka.
Apa itu gaelic football?
Jika diikutkan kepada info yang ditemui, gaelic football atau bahasa mudahnya gaelic ini dimainkan secara rasmi pada tahun 1884.
Namun begitu, permainan ini sebenarnya telah pun dimainkan sejak tahun 1527 lagi dengan pelbagai jenis versi permainan ini.
Ketika era 1860-an, gaelic ini dimainkan dengan cara yang berbeza.
Apa yang menarik mengenai gaelic ini adalah, ia dimainkan seperti permainan merentas desa yang dilangsungkan sepanjang hari pada hari minggu!
Ia memerlukan pemain untuk bermain dengan meletakkan bola ke dalam gol yang menggunakan 2 batang pokok sebagai tiang gol.
Gaelic ini juga membenarkan pemain untuk menggusti, menahan dan juga memegang bola turut dibenarkan.
Memasuki era 1880-an, sukan ragbi bola sepak atau rugby football mula memasuki Ireland. Ia merupakan sukan yang menggunakan peraturan bola sepak sebagai hukum tetapi dimainkan dengan cara ragbi.
Kemasukan rugby football ini kemudiannya memberikan perubahan kepada permainan gaelic itu sendiri. Mereka mula menggunakan beberapa pergerakan dalam sukan itu ke dalam permainan mereka.
Ketidaktetapan peraturan dalam permainan gaelic ini kemudiannya diselesaikan apabila Gaelic Athletic Association (GAA) menetapkan peraturan untuk permainan ini pada 1887.
Bagaimana ia dimainkan?
Gaelic ini merupakan campuran permainan bola sepak dan juga ragbi.
Berikut merupakan peraturan asas dalam permainan yang menjadi kebanggaan orang Ireland ini:
- Merupakan sukan yang menggunakan format 15 lawan 15
- Posisi asas permainan ini adalah 1 penjaga gol, 6 pertahanan, 2 pemain tengah dan 6 penyerang
- Dimainkan di atas padang segi empat yang berukuran 130-145 meter panjang dan berkeluasan 80-90 meter lebar
- Ia dilengkapi dengan tiang gol berbentuk H yang berketinggian 6-7 meter dan berjarak 6.5 meter antara 2 tiang
- Tiang gol berbentuk H itu kemudiannya bersambung dengan gol yang berketinggian 2.5 meter yang disertakan jaring
- Dimainkan selama 60 minit dengan 30 minit untuk setiap separuh masa. Ada yang dimainkan dengan 70 minit dengan 35 minit setiap separuh masa
- Perlawanan ditentukan menerusi perlawanan ulangan atau masa tambahan 20 minit (10 minit setiap separuh masa)
Permainan gaelic menggunakan 3 jenis kad dalam menguhukum pemain iaitu kad kuning, kad merah dan kad hitam.
Kad kuning merupakan kad amaran kepada pemain sementara kad merah adalah hukuman perintah keluar padang. Secara asasnya, ia sama sahaja dengan bola sepak.
Bagi kad hitam pula, ia merupakan hukuman kepada pemain yang dibuang padang tetapi pemain itu perlu digantikan dengan pemain lain untuk mencukupkan bilangan pemain di padang.
Setiap pemain akan memakai jersi dari nombor 1 hingga 15 dengan penjaga gol menggunakan nombor 1 dan akan menyarung jersi dengan warna berbeza dari warna rakan sepasukan.
Berbeza dengan bola sepak yang menghadkan pertukaran pemain kepada 3 sahaja, gaelic membenarkan pertukaran pemain dilakukan sehingga 15 kali pertukaran!
Cara pengiraan markah permainan gaelic ini adalah seperti berikut:
- 1 mata jika bola melebihi palang gol dan bendera putih diangkat oleh pengadil
- 3 mata untuk gol yang dihasilkan dengan penyudah memasuki ke gawang gol dan bendera hijau diangkat oleh pengadil
Cara untuk menentukan pemenang bagi sesebuah perlawanan gaelic ini adalah berdasarkan pengiraan jumlah gol-jumlah mata.
Sebagai contoh, pasukan A memperoleh 4-10 dan pasukan B memperoleh 1-5, maka pasukan A dikira sebagai pemenang.
Pengiraan dilakukan apabila setiap satu gol dikalikan dengan 3. Dalam situasi ini, pasukan A memperoleh 4 gol jadi 4 didarabkan dengan 3 jawapannya 12.
Ia ditambah dengan jumlah mata sebanyak 10, jadi 12 campur 10 jumlah kutipan markah pasukan A adalah 22.
Pasukan B pula hanya memperoleh 8 mata selepas memperoleh 3 mata selepas menjaringkan 1 gol (1×3) dan ditambah dengan 5 mata (3+5=8).
Jika anda masih kurang jelas dengan permainan ini, video aksi perlawanan gaelic ini mungkin boleh membantu anda.
Kejohanan terulung gaelic
Orang Ireland amat menjaga akan tradisi dan nilai permainan gaelic ini.
Jika di era 1880-an, pihak GAA telah menetapkan untuk permainan ini dikhaskan kepada orang Ireland sahaja.
Di era moden, tradisi permainan ini dikekalkan dengan cara tidak memodenkan permainan ini.
Maksudnya disini, para pemain dan pengurusan dalam gaelic ini bukanlah bermain secara profesional seperti dalam sukan lain – mereka semuanya amatur.
Hal ini telah ditetapkan untuk para pemain, jurulatih dan pengurusan untuk tidak menerima sebarang bentuk bayaran dalam sukan ini.
Dalam sukan ini, kejohanan yang terulung ialah kejohanan All-Irealand Senior Championship.
Ia merupakan kejohanan yang menyaksikan 33 pasukan dari Ireland dengan 2 pasukan dari England dan Amerika Syarikat.
Ia dilangsungkan pada sekitar Mei hingga Julai dengan pusingan kelayakan dan pusingan awal bagi peringkat akhir kejohanan mengambil tempat pada tempoh itu.
Pada bulan Ogos pula akan diadakan pula peringkat separuh akhir dan juga akhir.
Dari segi kehadiran, sukan gaelic merupakan sukan yang memperoleh kehadiran yang tertinggi di Ireland apabila mereka memperoleh kehadiran seramai lebih 80 ribu orang dalam perlawanan akhir untuk musim ini diantara Dublin dan Mayo.
Secara keseluruhannya, gaelic football merupakan satu sukan yang unik hasil gabungan ragbi dan juga bola sepak.
Ia memberikan satu hiburan yang berlainan kepada mereka yang inginkan sesuatu yang baharu dalam menonton sukan.
Sumber:
- Wikipedia (2017): Gaelic football; https://en.wikipedia.org/wiki/Gaelic_football
- Wikipedia (2017): Rugby football; https://en.wikipedia.org/wiki/Rugby_football
- Wikipedia (2017): All-Ireland Senior Football Championship; https://en.wikipedia.org/wiki/All-Ireland_Senior_Football_Championship#Format