Gabriel Jesus telah digandingkan bersama Sergio Aguero di bahagian serangan pada perlawanan yang menyaksikan Manchester City membelasah Huddersfield Town 6-1 di Stadium Etihad.
Duo serangan itu berjaya mencipta empat jaringan apabila Aguero meledak hatrik manakala Jesus sendiri menjaringkan satu gol.
Melihat kepada perkembangan positif tersebut, Jesus percaya beliau akan bergandingan baik bersama penyerang antarabangsa Argentina itu.
Perubahan itu dilakukan Pep Guardiola selepas meletakkan Aguero sebagai penyerang tunggal ketika perlawanan pembukaan menentang Arsenal, yang turut dimenangi The Cityzens.
Bercakap kepada laman web rasmi Manchester City, Jesus berkata:
”Pasukan kami memiliki enam orang pemain yang berupaya untuk beraksi di bahagian serangan, kesemua mereka adalah sangat baik.”
”Pep (Guardiola) memilih Sergio (Aguero) dan saya sendiri, sama seperti dilakukannya pada musim lalu dan saya merasakan hanya satu perlawanan kami tidak melakukan dengan baik tetapi kebiasaannya apabila kami berdua beraksi bersama, kami akan menjalankan tugas dengan hebat.”
”Kami sememangnya boleh untuk beraksi bersama!”
”Sergio dan saya mempunyai semangat untuk menjaringkan gol dan sentiasa mencuba untuk menyempurnakan peluang dengan baik.”
”Saya memulakan musim ini dengan sasaran untuk menyudahkan peluang dengan lebih baik, untuk terus membantu pasukan ini.”
Dalam pada itu, Gabriel Jesus turut memuji Pep Guardiola yang memahami kehendak pasukan.
”Pep merupakan seorang yang sangat pintar dan dia tahu apa yang pasukan ini perlukan.”
”Musim baharu bermula dengan baik ketika menentang Arsenal minggu lalu, terutamanya ia aksi di tempat lawan yang sudah pasti membuatkan kami menghadapi kesukaran.”
”Kami mahu bermula dengan kuat di tempat sendiri dan pasukan kami melakukan kerja dengan hebat pada perlawanan bertemu Huddersfield. Kami melakukan apa yang dipraktikkan dan diminta untuk melakukan dan hasilnya ada di sana (menang 6-1),” ujar Gabriel Jesus lagi.