G-Shock edisi Harimau Malaya yang mulai dijual pada hari ini di semua cawangan G-SHOCK Stores dan G-Factory stores telah habis dijual walaupun penjualannya baru dibuka pada hari ini.
Jam tersebut dilancarkan pada penghujung Mac lalu hasil jalinan kerjasama Casio dengan FAM sebagai tanda sokongan kepada skuad kebangsaan.
Melalui perkongsian daripada laman sosial Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Casio Malaysia, jam itu dibuka untuk jualan kepada umum mulai hari ini, dua hari lebih awal daripada tarikh asal yang diumumkan sebelum ini iaitu pada 1 Jun akan datang.
Namun tidak sampai sehari, Casio melalui satu kenyataan selepas itu berata semua jam tersebut telah habis dijual kecuali di tiga cawangan iaitu di G-Factory Aman Central Alor Setar, G-Factory East Coast Mall Kuantan & G-Factory Spring Mall Kuching yang sehingga kini masih tutup.
Peminat G-Shock dan penyokong Harimau Malaya bagaimanapun masih berpeluang untuk mendapatkan jam tersebut secara atas talian bermula 1 Jun nanti melalui aplikasi Shopee.
Pihak ketiga ambil kesempatan
Jam tangan G-Shock Harimau Malaya sememangnya dijangka akan menjadi rebutan ramai kerana ia merupakan jam edisi terhad.
Menggunakan model asas G-Shock GA-2000-1A9, jam ini didatangkan dengan warna tradisi Harimau Malaya iaitu hitam dan kuning serta memiliki ukiran logo Harimau Malaya sekali gus menyerlahkan lagi gaya eksklusif dan unggul.
Edisi terhad itu hanya dikeluarkan sebanyak 999 unit dan diukir dengan nombor siri bermula 002 sehingga 999 yang terletak di bawah tali jam tangan dengan harga jualan bermula dari RM579.
Ianya dikatakan akan dipakai oleh semua pemain sepanjang latihan menjelang aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan depan.
Semakan kami melalui pelbagai saluran penjualan e-dagang mendapati sudah ada pihak ketiga yang cuba mengambil kesempatan menjual jamtangan tersebut setinggi harga RM1,899 – juga melalui aplikasi Shopee.
Tindakan tidak bertanggungjawab ini pasti akan mengecewakan pihak yang benar-benar mahu mendapatkan jam tangan tersebut kerana sayangkan pasukan Harimau Malaya.
Baca artikel menarik lain mengenai Harimau Malaya melalui pautan:
Semua Pemain Skuad Kebangsaan Terima Hadiah G-SHOCK Edisi Harimau Malaya
https://semuanyabola.com/5-sebab-harimau-malaya-harus-optimis-mampu-raih-keputusan-positif/
Pesanan Untuk Tan Cheng Hoe & Harimau Malaya Sebelum Menentang UAE