England terus kempunan untuk memperoleh sesuatu dalam kejohanan bola sepak antarabangsa apabila sekali lagi tidak berhasil membawa pulang hasil.
Terbaharu, skuad wanita England mencatatkan satu lagi episod duka apabila tewas di tangan Sweden dalam perlawanan penentuan tempat ketiga di Piala Dunia Wanita.
Selepas dihampakan oleh Amerika Syarikat di separuh akhir, mereka cuba mendapatkan sagu hati dari kejohanan ini namun gagal.
England cukup terkesan dari permulaan perlahan mereka di separuh masa pertama dengan menyaksikan Sweden berjaya mendapatkan gol pada minit ke-11.
Bola yang cuba dikeluarkan dari zon bahaya oleh pertahanan England cukup lemah dan singgah tepat ke kaki Kosovare Asllani untuk meletakkan Sweden di hadapan.
Sweden kemudiannya menambah derita pasukan England pada minit ke-22 apabila Sofia Jakobsson melakukan rembatan lencong cantik untuk menewaskan penjaga gol – Carly Telford.
England kembali medekatkan jurang pada minit ke-31 menerusi rembatan rendah kaki kiri menerusi Fran Kirby.
Gol itu terhasil atas bantuan tiang lalu masuk ke dalam pintu gol Sweden.
2 minit kemudian, England berjaya menyamakan kedudukan menerusi Ellen White menerusi penyudah kaki kiri.
Namun begitu, gol beliau ditarik balik selepas semakan menerusi Video Assistant Referee atau VAR mendapati White menggunakan tangan ketika menahan bola tersebut.
Kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan dengan Sweden memperoleh tempat ketiga dalam kejohanan kali ini.
Mereka berjaya membalas dendam kekalahan skuad lelaki apabila kedua-dua negara bertemu dalam saingan Piala Dunia 2018 yang lalu.