Pemakaian ‘Kinesiology Tape’ atau lebih dikenali sebagai ‘Kinesio Tape’ dalam kalangan penggiat sukan semakin menular penggunaannya dalam kalangan mereka. Bagi yang kurang mengetahui pastinya pelik apa yang berwarna-warni dipakai oleh para pemain. Ada juga yang memanggilnya sebagai ‘KT Tape’.
Kinesio Tape adalah merupakan tape yang selalu digunakan oleh para atlet mahupun individu tertentu dalam melakukan sesuatu aktiviti. Pemain bola sepak juga seperti yang kita lihat tidak terkecuali daripada menggunakan tape ini.
Kebiasaannya tape ini sangat diperlukan jika seseorang itu mengalami kecederaan tetapi dalam masa yang sama tetap mahu melakukan aktiviti tersebut. Penggunaan Kinesio Tape ini sebenarnya sudah wujud dan dikembangkan oleh Dr. Kenzo Kase di Jepun seawal tahun 1970-an lagi.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini baru ianya menjadi pilihan di Malaysia buat para atlet sebagai langkah pemulihan dan juga pencegahan kecederaan yang dialami.
Fungsi dan peranan
Ia diperbuat daripada bahan seperti fabrik dan elastik. Kinesio Tape ini mampu mengurangkan kesakitan yang dialami oleh anda ketika berfutsal.
Tape ini juga sangat bermanfaat sekiranya anda mengalami masalah ketegangan pada otot dan juga dapat mengurangkan bengkak yang dialami anda ketika berfutsal.
Bagi anda yang tidak mengalami kecederaan pula juga digalakkan untuk menggunakan tape ini ketika bermain bola sepak kerana ianya mampu mengurangkan risiko kecederaan pada otot anda.
Cara Pemakaian
Sebelum ianya dilekatkan anda perlu memastikan kulit harus bersih dari minyak atau air.
Pastikan anda memasang Kinesio tape ini satu jam sebelum beraksi di padang. Perkara ini bagi memastikan tape tersebut melekat dengan baik pada kulit anda.
Hindari pemakaian tape yang terlalu ketat bagi menghindarkan kegatalan pada kulit anda.
Setelah selesai melekatkan tape tersebut pada kulit, gosokkan Kinesio tape ini dengan menggunakan tangan anda untuk membantu ianya melekat dengan baik.
Bagi yang baru sahaja mahu menggunakannya harus memastikan supaya anda tidak mengalami kegatalan pada bahagian kulit.
Kredit foto: Chris Brunskill Ltd/Getty Images