Quantcast

BERITA

Friendship Trophy & Brian Clough Trophy: Trofi Yang Hanya Ada Final, Apa Sejarahnya?

Dalam artikel kali ini, penulis akan menyentuh tentang 2 trofi yang hampir ada persamaan. Ia berbeza dengan trofi yang lain kerana finalis adalah senarai tetap (fixed).

1. Friendship Trophy

Asal usulnya bermula pada perlawanan akhir League Cup pada musim 1985 apabila Norwich City bertemu Sunderland dalam perlawanan akhir tersebut.

Pada perlawanan tersebut, pemain Sunderland, Gordon Chisholm terjaringkan gol sendiri pada minit 46. Jaringan tunggal itu kekal sehingga tamat masa perlawanan. Norwich dinobatkan sebagai juara.

Norwich memenangi League Cup pada 1985.

Penulis tidak dapat bayangkan apa perasaan kedua-dua kelab pada masa itu. Pasukan lawan memenangi trofi di final kerana gol sendiri!

Namun, keperitan itu seolah menjadi berterusan pada akhir musim 1985. Norwich dan Sunderland tersingkir dari saingan First Divison (EPL).

Musim seterusnya yakin 1985-86, mereka bermain di saingan Divisyen 2. Lebih malang untuk Norwich yang dinafikan hak untuk ke Eropah.

Ini kerana kelab England disekat menyertai kejohanan UEFA kerana insiden hooliganisme.

Norwich memenangi Friendship Trophy pada Disember 1990

Jadi wujudlah idea untuk mewujudkan Friendship Trophy ini. Tidak pasti sama ada mereka meraikan pertemuan di divisyen 2 selepas final Piala Liga ataupun Norwich kecewa kerana tidak ke Eropah.

Entah siapalah yang mencetuskan idea membentuk Friendship Trophy.

Sejak dari hari itu, pemenang mana-mana perlawanan kompetitif antara di antara Canaries dan Black Cats akan terus dianugerahkan trofi ini. Tidak kisah perlawanan liga atau piala (cup competition)!

Kali terakhir dua kelab ini bertemu di Carrow Road pada musim lalu. Sunderland menewaskan Norwich dengan 3 gol tanpa balas!

Berdasarkan rekod pertemuan keseluruhan untuk Friendship Trophy, Norwich menang 14 kali berbanding Sunderland 8 kali. 5 perlawanan berakhir dengan seri.

Penulis tidak pasti adakah musim hadapan trofi ini akan dipertandingkan semula. Sama ada Sunderland turun liga atau Norwich naik pangkat. Atau mungkin juga di FA Cup atau League Cup.

2. Brian Clough Trophy

Anda tidak mengenali Brian Clough? Aduh, ia memalukan bagi peminat bola sepak Inggeris!

Pada 2007, selepas 4 tahun pemergian Brian, trofi ini diwujudkan. Pada mulanya ia diperkenalkan untuk perlawanan persahabatan antara Nottingham Forest dan Derby County.

Ya, mereka seteru utama Midlands dan pernah diuruskan oleh Brian Clough. Perlawanan pertama trofi ini dianjurkan ketika perlawanan persahabatan pra musim kedua-dua kelab seteru ini.

Hasil daripada perlawanan persahabatan ini disumbangkan kepada badan amal.

Nottingham Forest memenangi Brian Clough Trophy pada Disember 2010.

Seterusnya trofi ini terus dipertandingkan dalam pertandingan kompetitif seperti mana Friendship Trophy. Syaratnya mudah, asalkan Nottingham Forest bertembung Derby County maka trofi ini akan ada.

Tidak kisahlah mereka bertembung 5 kali semusim, maka 5 Trofi Brian Clough akan direbut oleh mereka.

Derby County memenanginya baru-baru ini.

Kali terakhir mereka bertemu ialah pada 11 Disember 2016 lalu apabila The Rams merempuh Forest dengan 3 gol tanpa balas dalam saingan Championship.

Perlawanan seterusnya, Forest akan menjadi hos di City Ground.Sayang, trofi ini tidak pernah dimainkan di EPL. Ini kerana Brian Clough ni nama besar dalam bola sepak Inggeris.

Sejak 2007, Derby County menang 12 kali manakala Nottingham Forest menang 6 kali.

Kesimpulan

Memang trofi ini lebih kepada suka-suka dan kurang penting. Tetapi, ada juga sesetengah liga, pengurusannya mewujudkan beberapa trofi seperti ini untuk kelab yang berseteru.

Ya, di Major League Soccer ada banyak piala seperti ini. Nanti di lain masa, penulis akan menulis mengenainya.

Cuba bayangkan kelab-kelab tersebut mara ke final untuk pertandingan piala (cup competitions), juara akan terus membawa 2 piala.

Mungkin di Malaysia harus memikirkan idea ini untuk menarik lebih banyak penyokong dalam perlawanan-perlawanan tertentu.

Baca juga: Rooney: Lagenda Hidup Old Trafford Yang Menyamai Pencapaian Sir Bobby Charlton

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!