Pengurus Derby County yang merupakan bekas pemain tengah Chelsea, Frank Lampard percaya bahawa bekas pengurusnya, Jose Mourinho akan kembali ke kancah Liga Perdana Inggeris (EPL).
Walaupun sudah tiga kali Mourinho dipecat daripada membimbing kelab EPL, Lampard beranggapan pengurus dikenali sebagai ‘The Special One’ itu merupakan pengurus yang masih menjadi pilihan ramai.
Oleh itu, Lampard tidak terkejut sekiranya beliau akan kembali membimbing pasukan dalam saingan liga paling popular di dunia itu.
Jodoh Mourinho bersama Manchester United hanya bertahan selama dua tahun setengah selepas beliau dipecat akibat prestasi hambar The Red Devils sejak kebelakangan ini.
Ketika ditanya adakah Jose Mourinho akan kembali membimbing kelab besar di England, ini adalah jawapan yang diberikan Frank Lampard.
”Mungkin, dia adalah Jose Mourinho. Apa sahaja boleh berlaku.”
”Dia akan menjadi pengurus yang dikehendaki kerana dia merupakan seorang pengurus yang hebat dan kerana apa yang telah dilakukannya dalam permainan.”
”Sekarang, ia terpulang kepadanya – mungkin dia patut berehat sedikit lama buat seketika kerana tekanan yang dihadapinya.”
”Saya tidak pasti ia akan menjadi lebih baik, kerana tekanan dari luar.”
”Dia akan kembali, sama ada di Liga Perdana Inggeris mahupun di dunia bola sepak. Dan juga akan kembali di puncak kerana dia merupakan seorang pengurus yang hebat.”
Seperti yang diketahui, Lampard dan Mourinho pernah menjadi watak penting dalam kejayaan Chelsea meraih gelaran EPL pada satu ketika.
Sama-sama kita nantikan kemana hala yang bakal dituju Jose Mourinho selepas ini!