Frank Lampard: Kami Tak Pernah Harap Ehsan Kelab Lain Bantu Ke UCL

Frank Lampard

Pengurus Chelsea, Frank Lampard menegaskan bahawa pasukannya perlu memenangi baki perlawanan yang bakal dihadapi bagi membolehkan skuad bimbingannya itu terus berada dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim hadapan.

Lampard yang juga merupakan legenda Chelsea turut mengakui skuad bimbingannya tidak pernah mengharapkan ehsan dari mana-mana pasukan dalam merintis laluan ke kempen liga paling berprestij di Eropah itu.

Kenyataan tersebut menjadi jawapan jelas berhubung keputusan rayuan Manchester City yang diterima oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dalam menarik balik hukuman penggantungan selama dua tahun The Cityzens daripada beraksi dalam kempen UCL bermula musim 2020/21.

Satu keputusan yang nyata menjadi pertikaian hebat dalam kalangan peminat bola sepak dunia dan tidak terkecuali juga di Malaysia.

”Saya sangat neutral dalam keadaan ini, tidak banyak perkara yang saya ketahui berhubung kes ini,” ujar Lampard menurut laman sesawang rasmi Chelsea.

”Saya hanya mendengar keputusan tersebut sama seperti yang dilakukan oleh orang lain pada pagi tadi [semalam].”

”Saya tidak melihat perkara lain selain daripada perlawanan seterusnya yang akan kami hadapi. Kami mahu memenanginya dan melihat adakah ia akan melayakkan kami ke Liga Juara-Juara Eropah pada musim hadapan.”

”Saya tidak pernah mengharapkan ehsan pasukan lain untuk membawa kami ke sana [UCL]. Kami hanya risaukan tentang diri kami sendiri.”

”Kegusaran saya hanya untuk perlawanan akan datang. Kami di tahap kritikal pada musim ini. Esok bertemu Norwich, kemudiannya Liverpool dan Wolves dalam saingan liga. Kami tahu apa yang bakal menantui di hadapan.”

”Kami tahu kemampuan yang kami miliki dalam skuad ini. Kami telah menunjukkan banyak perbezaan pada musim ini dan ia menjadi alasan mengapa kami berada di tangga ketiga pada ketika ini. Kini kami perlu untuk menyelesaikan tugasan ini,” tambah Lampard lagi.

Chelsea mampu menarik nafas lega apabila pencabar mereka, Manchester United hanya mampu mencatatkan keputusan seri 2-2 pada pertemuan menentang Southampton pada awal pagi tadi yang menyaksikan kedudukan The Blues di tangga ketiga masih kekal menjadi milik mereka buat ketika ini.

Kredit featured image: Charles McQuillan/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Chelsea:

Leave a Reply