Frank Lampard Bersara, Berakhirnya Karier Pemain Tengah Paling Prolifik

Frank Lampard bersara daripada bola sepak profesional. Beliau mengumumkannya semalam, 2 Februari 2017 menerusi akau media sosial beliau.

Super Frank!

Frank Lampard memulakan karier beliau pada 1994 bersama-sama dengan akademi West Ham. Kelab yang turut menyaksikan ayahnya Frank Lampard Senior menjadi lagenda di sana.

Pada awal karier, beliau hanyalah pemain bola sepak yang terhad kepada sepakan bebas. Namun pembangunan yang beterusan di West Ham membolehkan Lampard menjadi pemain lebih versatile.

Debut pertama beliau bersama West Ham adalah pada 1996. Pada musim 1997/98 Lampard dipanggil ke dalam pasukan utama. Musim berikutnya West Ham menduduki tangga ke-5 EPL.

Setelah banyak tawaran datang kepada beliau, Lampard kekal di West Ham kerana itu kelab yang dia sokong ketika kecil.

Ke Chelsea

Lampard juga pemain yang cepat dicemuh oleh penyokong West Ham ketika mereka kalah.

Paling Lampard tidak suka adalah stereotaip yang suka menggelarkan Lampard bermain kerana dasar nepotisme. Ayahnya lagenda West Ham, bapa saudaranya pula pengurus.

Dalam buku autobiografinya, Lampard mendedahkan penyokong West Ham bersorak gembira ketika kakinya patah menentang Aston Villa.

Pada 2001, Frank Lampard telah menyertai Chelsea dengan perpindahan £11 juta. Beliau berhijrah kerana dikatakan kecewa dengan pemecatan Harry Redknapp.

Karier Lampard di Chelsea bermula dengan baik. Beliau menjadi pemain utama di dalam pasukan. Pada musim 2003/04, Lampard membantu Chelsea menduduki tangga ke-2 EPL di belakang invincibles Arsenal.

Pada musim 2004/2005, 2 gol Frank Lampard ke atas Bolton telah membantu kelab The Blues untuk merangkul EPL pertama di bawah era Roman Abramovich.

Beliau turut dipilih sebagai pemain terbaik PFA dan Pemain terbaik Chelsea untuk musim 2004/05 dan juga 2005/06.

Frank Lampard turut dipilih sebagai pemenang tempat ke-2 Ballon d’Or 2005 di belakang Ronaldinho.

Selepas itu, Frank Lampard menjadi bakat elit dalam bola sepak dunia. Kemampuan beliau untuk menjaringkan gol sangat luar biasa.

Lampard menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman untuk Chelsea dengan memecahkan rekod 50 tahunBobby Tambling. Lampard merekodkan 211 gol sepanjang di Chelsea. Dan beliau adalah pemain tengah!

Lampard membantu Chelsea memenangi UCL pertama dalam sejarah kelab mereka pada 2011/12 selepas gagal dalam final sebelum itu berhadapan Manchester United.

Pada musim berikutnya Lampard memenangi Europa League bersama-sama dengan Chelsea.

Kekal di Chelsea kerana ibunya

Pada 2008, Lampard hampir menyertai Jose Mourinho di Inter Milan. Lampard sudah memberi isyarat beliau tidak akan menandatangani kontrak baru.

Namun beliau mengubah keputusannya selepas melihat semua pemain Chelsea hadir semasa pengebumian mendiang ibunya. Ia sangat menyentuh hatinya.

Lampard juga berkata, beliau tidak mahu meninggalkan suasana di Stamford Bridge.

Ada satu seksyen di mana beliau akan sentiasa memandang ke situ setiap kali perlawanan. Di situlah tempat duduk ibunya setiap kali ada perlawanan Chelsea.

Lampard menjaringkan gol dalam perlawanan UCL menentang Liverpool. Dia berlari ke seksyen ayahnya berada dan mencium badge hitam di lengannya.

Lampard menunjukkan isyarat ke langit tanda menujukan gol itu kepada mendiang ibunya. Chelsea mara ke final UCL 2008.

Avram Grant berkata, beliau agak gamble ketika menurunkan Lampard dalam perlawanan itu. Grant memerlukan kualiti Lampard namun pada masa yang sama harus mengambil kira perasaan Lampard.

Namun Lampard beraksi seperti biasa dan Avram Grant sangat terharu.

Antarabangsa

Dalam skuad England, Lampard mendapat debut pada 1997. Namun selepas persaraan Paul Scholes selepas Euro 2004, Lampard menjadi pemain utama England bersama Steven Gerrard.

Beliau juga beberapa kali menjadi kapten England.

Lampard mewakili England dalam kejohanan-kejohanan besar termasuk Euro 2004, Piala Dunia 2006, Piala Dunia 2010, Euro 2012 dan Piala Dunia 2014.

Tugasan antarabangsa terakhir beliau adalah Piala Dunia 2014. Pada pusingan kelayakan, Lampard adalah pemain yang cemerlang.

Ketika di Brazil, Lampard menjadi kapten dalam perlawanan terakhir England menentang Costa Rica. Ia kenangan yang agak ironi untuk beliau mengakhiri tugasan kebangsaan.

Lampard tergolong dalam kelab-100 caps England. Ia gelaran untuk pemain yang mewakili England 100 kali dan lebih.

Lampard bersama-sama dengan lagenda lain seperti Peter Shilton, Wayne Rooney, David Beckham, Steven Gerrard, Bobby Moore, Ashley Cole, Bobby Charlton dan Billy Wright tergolong di dalam kelab-100 ini.

Beliau mengakhir 109 caps untuk England dengan 29 gol. Jumlah yang tinggi untuk pemain tengah.

Jangan lupa, jaringan beliau yang tidak dikira ketika menentang Jerman adalah punca kenapa teknologi garisan gol dilaksanakan di beberapa buah liga dan kejohanan utama FIFA pada hari ini.

Berpisah dengan Chelsea

Pada 2014, Lampard mendedahkan dia menyerahkan urusan kontrak beliau kepada Chelsea. Dan pihak kelab berjanji akan menentukannya selepas Piala Dunia.

Kepulangan kedua Jose Mourinho ke Chelsea bukan jaminan untuk Lampard. Kerana musim sebelum itu, Mourinho sudah mengarahkan Lampard mencari kelab lain.

Akhirnya Lampard memutuskan untuk menyertai kelab MLS, New York City.

Namun yang menjadi kontroversi apabila dia bersetuju dengan tawaran dari Manuel Pellegrini untuk meminjam beliau sementara cuti MLS.

Lampard membuat kontroversi sekali lagi apabila meminta untuk kekal di City sehingga akhir musim. Penyokong New York City agak marah.

Ketika bermain di City, Frank Lampard melakukan sesuatu yang peminat Chelsea tidak pernah jangka. Beliau menjaringkan gol ke atas Chelsea.

Beliau masuk sebagai pemain gantian pada 7 minit terakhir perlawanan. Chelsea mendahului 0-1. Lampard menyamakan kedudukan sebelum perlawanan tamat.

Satu jaringan yang tidak diraikan dan Lampard menggelar ia hari paling emosi. Bahkan penyokong Chelsea sendiri menerima jaringan itu dengan hati terbuka kerana beliau adalah Frank Lampard.

Fank Lampard bersara dan menamatkan kariernya di MLS selepas 21 tahun. Beliau adalah pemain tengah paling prolifik dalam sejarah bola sepak dunia.

Pemain ikonik ini terkenal dengan kemampuannya menjelmakan magik apabila pasukan di dalam tekanan.

Fakta lain 

  • Hanya Ryan Giggs (632) dan Gareth Barry (615) yang membuat lebih penampilan Liga Perdana Inggeris daripada Lampard (609).
  • Beliau menjaringkan 177 gol EPL.  Ke-4 di belakang Alan Shearer, Wayne Rooney dan Andy Cole.
  • Lampard penjaring terbanyak gol dari luar kotak penalti di EPL (41).
  • Lampard menjaringkan gol ke atas  39 pasukan yang berbeza dalam Liga Perdana Inggeris. Rekod tertinggi setakat ini

Lampard bersara dengan bangga di atas semua pencapaian beliau. Selamat bersara Frank Lampard. Anda adalah definisi sebenar Goal-scoring midfielder!

Baca juga: 7 Pasukan Yang Mengubah Padang Untuk Menyukarkan Taktikal Pasukan Pelawat

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN