Masih ingat prestasi cemerlang Billy Gilmour yang membawa kepada pujian daripada pengurusnya, Frank Lampard selepas beliau membantu Chelsea menyingkirkan Liverpool 2-0 di perlawanan pusingan kelima Piala FA, pada awal Mac yang lalu.
Pemain tengah berusia 18 tahun itu menampilkan permainan meyakinkan menentang The Reds selepas disenaraikan di dalam kesebelasan utama oleh Frank Lampard.
Bercakap dalam rancangan The Football Show, Frank Lampard telah menjelaskan yang Billy Gilmour sudah lama mengagumkannya, iaitu ketika dalam sesi latihan, sebelum memberikan aksi cemerlang ketika diturunkan beraksi pada bulan lalu.
Pengendali berusia 41 tahun itu turut berkata yang betapa sukar buatnya untuk tidak membawa pemain muda itu keluar daripada Cobham dan menyertai sesi latihan skuad utama dek kerana aksi berprestasi tinggi yang telah dipamerkannya.
“Kami memiliki beberapa pemain muda yang telah ditampilkan pada musim ini dan menjadi kebanggaan buat saya apabila dapat bekerjasama bersama mereka. Mereka mahu masuk ke skuad utama, mahu belajar dan mereka bagaikan span.
“Billy [Gilmour] sangat menyenangkan saya. Apabila anda melihat Billy, mungkin terlihat kekurangannya dari segi saiznya, kurang bercakap, muda dan sopan, kemudian anda melatihnya setiap hari sepanjang musim,” ujar Frank Lampard.
“Dia telah berlatih bersama skuad utama agak lama kerana dia ‘diperlukan’. Apa yang dilakukannya, telah melayakkannya,” jelasnya lagi sambil menegaskan Billy Gilmour memiliki sikap dan juga kemahiran asas bola sepak yang sangat baik.
“Ia sangat menyenangkan untuk melihat seorang pemain mampu melakukan kemahiran asas sebagai pemain tengah seperti cara menerima bola, membuat pusingan dan membuat keputusan yang tepat dalam perlawanan,” tambahnya.
“Dalam permainan moden kini, adakalanya akan ada sedikit kesilapan yang berlaku, tetapi dia mampu melakukannya setiap kali dengan sangat baik,” jelas pengendali yang sedang melalui musim cemerlang pada musim keduanya bersama Chelsea.
Dengan pujian yang diterima daripada lagenda Manchester United, Roy Keane yang menyatakannya seperti seorang pemain berkelas dunia ketika menentang Liverpool tempohari, Frank Lampard berharap Billy Gilmour akan gembira tentangnya.
“Roy Keane adalah pemain tengah yang terhebat dan tidak mungkin dengan mudah untuk memberikan pujian kepada mana-mana pemain melainkan ianya layak untuk pemain tersebut. Dan dia [Billy Gilmour], sangat berhak untuk menerimanya.
“Billy hadir dengan sikap dan kebolehan yang tepat yang mana, semua perkara itu lahir daripada diri pemain itu sendiri. Billy memiliki kemahiran asas yang sangat dan itu adalah platform terbaiknya untuk membina karier yang hebat,” ujarnya.
KREDIT FEATURED IMAGE: SKYSPORTS