Frank Bernhardt Akui Jentera Serangan UiTM FC Sedikit Bermasalah

Rabih Ataya

UiTM FC tewas dalam penampilan sulung mereka di CIMB Liga Super 2020 kepada Melaka United dengan keputusan 0-2 di Stadium UiTM, Shah Alam, malam tadi.

Ia bukanlah keputusan yang diinginkan oleh mana-mana pasukan – kehilangan tiga mata, namun, sebagai pasukan baharu, ia adalah satu pengalaman berharga buat mereka dan pengendali, Frank Bernhardt, di saingan peringkat tertinggi Liga Malaysia.

Begitupun, UiTM FC sebenarnya mampu untuk melakarkan sesuatu dalam aksi tersebut terutamanya di babak kedua, namun dikecewakan dengan kelemahan jentera serangan yang diketuai oleh pemain import, Gustavo Almeida.

Walaupun dibarisi pemain tempatan tidak ternama, The Lion Troops tampil tidak mengecewakan apabila berjaya menyukarkan lawan memburu mata mudah.

Bercakap dalam sidang media selepas perlawanan, Frank Bernhardt tampak tidak terlalu kecewa dengan keputusan yang telah dicapai barisan pemainnya.

“Jadi, selamat datang ke Liga Super. Saya rasa gol pertama Melaka United adalah hasil kesilapan pertahanan kita. Kami telah berbincang sebelum ini, bagaimana mereka akan datang dan bagaimana untuk menghadapinya,” ujar Frank Bernhardt.

“Di babak kedua, kami memiliki lebih peluang selepas Melaka United nampak buntu, mereka semakin perlahanan dan tiada lagi tenaga. Tetapi kami pula gagal jaringkan gol, kami ada masalah untuk menjaringkan gol pada hari ini,” jelasnya lagi.

Ketika ditanya sama ada Melaka United adalah satu pasukan yang sukar buat mereka terutama sekali terpaksa berdepan dalam aksi pertama mereka di Liga Super, Frank Bernhardt pantas menolak kenyataan tersebut kerana masih ada JDT dan Kedah.

“Tiada pilihan lain. Selepas ini kita akan jumpa pasukan seperti JDT dan Kedah pula. Inilah keputusannya [tewas]. Bagi saya, untuk perlawanan ini, Melaka United tidaklah terlalu memberi kami masalah,” jelas pengendali berusia 50 tahun itu.

Dalam aksi malam tadi, penyerang baharu Melaka United, Sony Norde meledak gol pembukaan pelawat pada minit ke-28 selepas menerima hantaran jauh dari tengah padang, sebelum memperdaya seorang pemain untuk gol pertamanya di Liga Super.

Selepas berhempas pulas memburu gol, akhirnya pemain import tengah, Romel Morales berjaya menambah jaringan buat skuad Hang Tuah di penghujung perlawanan untuk memberikan Melaka United tiga mata penuh pertama musim ini.

FOTO: MFL

Leave a Reply