Seperti sedia maklum, Franck Ribery mengesahkan bahawa beliau tidak akan memperbaharui kontrak dengan Bayern Munich pada musim hadapan selepas 12 tahun menjalani karier bersama gergasi Bundesliga itu.
Bagaimanapun, beliau memaklumkan bahawa dirinya akan kembali menyertai kelab itu beberapa tahun kemudian tetapi pada ketika itu beliau hadir bukan sebagai pemain.
Kontrak Ribery bersama Bayern akan berakhir pada penghujung musim 2018/19 ini. Namun, Ribery yang kini berusia 36 tahun ini masih belum membuat keputusan untuk bersara sebagai pemain profesional.
Setakat ini, pemain kelahiran Perancis itu masih belum membuat perancangan kemana hala tujunya selepas ini.
Akan kembali
Dalam sidang media yang diadakan, Ribery berkata dia mungkin akan bermain untuk satu atau dua tahun lagi sebelum kembali ke Bayern dengan peranan yang berbeza selepas bersara.
“Saya masih tidak tahu apa akan saya lakukan musim depan, ada beberapa pilihan.”
“Saya akan bermain untuk satu atau dua tahun lagi dan kemudian saya 100 peratus pasti akan kembali ke Munich. Kami sudah pun membincangkan satu tugas di kelab ini.”
“Kami masih mempunyai banyak masa tetapi perkara penting, di sini saya rasa bagaikan di rumah sendiri,” ucap Ribery yang dipetik menerusi laman rasmi Bayern Munich.
Dua trofi
Dalam pada itu, Ribery memasang impian untuk mahu menamatkan karier penuh gemilang bersama juara 28 kali Bundesliga itu.
Menyertai Die Roten pada tahun 2007 daripada Marseille, Ribery bertekad mahu mengakhiri kariernya sebagai pemain di Allianz Arena dengan merangkul dua trofi kejuaraan musim ini.
Trofi pertama tentu sahaja adalah kejuaraan Bundesliga. Jika Bayern Munich berjaya memenangi perlawanan bertemu RB Leipzig pada 11 Mei nanti, secara automatik Bayern akan dinobatkan sebagai juara liga dengan jumlah mata terkumpul sebanyak 77 mata.
Manakala, trofi kedua yang berpeluang untuk dimenangi oleh Bayern musim ini adalah kejuaraan Piala Jerman [DFB Pokal]. Dalam perlawanan akhir itu nanti, Bayern sekali lagi akan membuat perhitungan dengan RB Leipzig pada 18 Mei ini di Olympiastadion Berlin.
“Kami masih mempunyai dua pertandingan di liga dan satu di DFB Pokal. Jadi, kami harus tetap fokus. Ini adalah sangat penting bagi saya. Saya akan jadi pemain pertama yang meraihnya [9 gelaran juara Bundesliga] dan ini detik yang bersejarah bagi kelab dan saya sendiri,” kata Ribery.