FPL: Tips Untuk Pasukan Anda Pada Minggu Ke-8 Saingan EPL!

Hujung minggu ini merupakan minggu ke-7 saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) akan dilangsungkan. Sudahkah anda mengemaskini pasukan FPL anda untuk saingan pada minggu ini?

Beberapa pemain dari beberapa pasukan telah disahkan tidak akan beraksi pada hujung minggu ini akibat kecederaan. Pastikan anda merehatkan Marouane Fellaini dan Paul Pogba (Manchester United), Sadio Mane (Liverpool), Alvaro Morata (Chelsea) dan juga Shkodran Mustafi (Arsenal).

Tidak ada isu setakat ini untuk pemain-pemain daripada Tottenham Hotspur. Untuk membantu anda membuat pilihan jika berniat melakukan pertukaran, kami tampilkan 5 pemain yang mungkin boleh membantu anda menambah mata pada minggu ke-8 ini.

1. Michy Batshuayi (Chelsea)

Posisi: Penyerang
Nilai : £8.1 juta

Chelsea ditumpaskan oleh Manchester City di Stamford Bridge pada perlawanan terakhir sebelum liga berehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.

Antonio Conte turut menerima kritikan dalam perlawanan tersebut kerana taktik yang beliau gunakan, terutama kerana menggantikan Alvaro Morata yang tercedera dengan Willian.

Tindakan mengeluarkan pemain penyerang dan menggantikannya dengan seorang pemain tengah kelihatan meragukan. Apatah lagi selepas Michy Batshuayi menjaringkan gol kemenangan ketika menentang Atletico Madrid beberapa hari sebelum itu.

Untuk Crystal Palace yang menduduki tangga ke-20, tidak ada alasan untuk Batshuayi tidak diturunkan. Penyerang dari Belgium itu mempunyai ratio satu jaringan untuk setiap 80 minit aksi, dan sememangnya berhak untuk mengambil alih peranan Morata yang mengalami kecederaan.

(Photo by Patricio Realpe/Getty Images)

2. Raheem Sterling (Manchester City)

Posisi: Pemain tengah
Nilai: £8 juta

Di atas kertas, Manchester City kelihatan tiada masalah untuk mencatatkan kemenangan ke atas Stoke di Etihad pada minggu ini. Perkara pertama adalah kerana City adalah pasukan dengan jaringan tertinggi dengan 22 gol di kalangan 20 pasukan yang bertanding.

Perkara kedua adalah kerana fakta Manchester City telah menjaringkan 4 gol dalam 3 pertemuan di 5 perlawanan terakhir membabitkan kedua-dua buah pasukan.

Manchester City akan beraksi tanpa Sergio Aguero selepas terbabit dengan kemalangan 16 hari lepas. Secara logiknya, pemain dengan jumlah jaringan kedua tertinggi, Raheem Sterling (5 gol) seharusnya diturunkan oleh Guardiola.

Sterling adalah pemain yang kurang menjadi pilihan di Fantasy Football. Hanya 7.1% daripada pemain di FPL memilih Sterling. Pada masa ini, Sterling berada pada prestasi terbaik.

Bagi yang mencari seorang pemain tengah untuk pasukan masing-masing, Sterling mungkin adalah pilihan yang wajar.

(Photo by Laurence Griffiths/Getty Images)

3. Christian Eriksen (Tottenham Hotspur)

Posisi: Pemain tengah
Nilai: £9.7 juta

Prestasi semasa Tottenham Hotspur di gelanggang lawan sangat baik pada musim ini. Sehingga kini, Spurs telah merekodkan kesemua 4 kemenangan di halaman lawan.

Kelab London ini turut menghasilkan 12 gol; sesuatu yang sukar mereka lakukan jika beraksi di Wembley!

Sehingga kini, Spurs belum mencatat sebarang kemenangan dari 3 perlawanan yang diadakan di Wembley. Mungkinkah Bournemouth akan menjadi korban pertama di Wembley?

Jika ianya berlaku, maka Christian Eriksen pasti pasti akan memainkan peranan.

Dalam 12 perlawanan untuk kelab dan negara setakat ini, Eriksen telah menjaringkan 6 gol dan menyumbangkan 6 bantuan gol untuk rakan sepasukannya.

Eriksen pasti akan dipertanggungjawabkan oleh Mauricio Pochettino untuk membolosi pertahanan Bournemouth dengan hantaran-hantaran berbahaya seperti kebiasaan beliau lakukan.

(Photo by TF-Images/TF-Images via Getty Images)

4. Nick Pope (Burnley)

Posisi: Penjaga gol
Nilai: £4.5 juta

Selepas 7 perlawanan, hanya City dan United merekodkan jumlah bolos yang lebih sedikit berbanding dengan Burnley. Tatkala kedua-dua kelab Manchester itu masing-masing sudah dibolosi sebanyak 2 kali, Burnley hanya melepaskan 5 gol dalam 7 perlawanan setakat ini.

Salah satu kejayaan Burnley di bahagian pertahanan adalah kerana ketangkasan penjaga gol mereka, Nick Pope. Sehingga kini penjaga gol berusia 25 tahun ini memiliki 3 ‘clean sheet’ dan bolos hanya sekali dalam 4 perlawanan terakhir di liga.

Pope turut mempunyai purata 3.50 tampanan untuk setiap 90 minit perlawanan, dan mengumpul purata mata 5.25 dalam pada setiap minggu dalam FPL.

Untuk harga dan nilai semasa yang dinyatakan di atas, Pope adalah pembelian yang boleh dianggap murah, namun memiliki kualiti. Pada hujung minggu ini, Burnley akan melayan ketibaan West Ham di laman sendiri.

Daniel Hambury – EMPICS

5. Kiko Femenia (Watford)

Posisi: Pertahanan
Nilai: £4.5 juta

Bolehkah Watford meneruskan prestasi baik seperti yang ditonjolkan di dalam beberapa perlawanan, atau adakah mereka akan diratah oleh Arsenal seperti mana yang mereka alami ketika menentang Manchester City?

Perlawanan di antara Watford dan Arsenal pada hujung minggu ini adalah yang paling sukar untuk diramal. Kedua-dua kelab berada pada prestasi yang tidak menentu.

Watford berkemungkinan akan membuat kejutan di hadapan penyokong sendiri. Pada masa yang sama, mereka turut boleh ditewaskan jika gagal menyekat barisan penyerang Arsenal.

Kiki Femenia akan memainkan peranan yang penting. pemain bek menyerang ini telah mencipta 4 peluang setakat ini dan melengkapkan 88% cubaan satu lawan satu di dalam EPL sehingga kini.

(Photo by Matthew Ashton – AMA/WBA FC via Getty Images)

Rumusan

Pertimbangkan 5 pemain ini. Siapa tahu, pasukan FPL anda mampu menghasilkan mata yang lebih baik pada minggu ke-7 ini.

Jangan lupa kemaskini pasukan anda!

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN