Semalam kami kongsikan berita yang didedahkan Fox Sport Asia, membabitkan isu tuntutan gaji bekas petugas fisio Hanelang FC dan Terengganu City FC, yang berasal dari Indonesia, Fortunella Levyana. Hari ini, kami berjaya menghubungi beliau sendiri untuk mendapat penjelasan terus dari tuan punya badan.
Pada awalnya, Fortunella Levyana atau lebih selesa dipanggil Nella memaklumkan bahawa beliau sebenarnya enggan untuk membangkitkan isu ini kepada media. Ini kerana beliau terlalu kecewa serta malu untuk berhadapan keluarga, kenalan dan peminat bola sepak di Indonesia dan Malaysia jika berita buruk seperti ini tersebar meluas dan mendapat perhatian umum.
Anggap Malaysia ‘baik-baik’ sahaja
“Sejujurnya saya malu untuk berkongsi berita ini kepada media kerana sepanjang penglibatan saya dalam arena bola sepak di sini [Malaysia], saya selalu menceritakan perkara yang baik-baik kepada rakan-rakan fisio saya di Indonesia,” ujar beliau membuka bicara.
“Tetapi tindakan mereka [pihak bertanggungjawab] telah memaksa diri untuk saya tampil ke depan dan bercakap mengenai perkara ini,” tambah beliau lagi setelah diyakinkan oleh pihak kami.
Kami bertanya apakah yang membuatkan beliau mengambil keputusan untuk mendedahkan isu ini kepada media, beliau berkata, sikap pihak yang cuba untuk lari dari tanggungjawab seakan-akan dilihat seperti acuh tidak acuh memikirkan permasalahan yang dihadapi beliau ketika ini mendorong beliau untuk memberanikan diri untuk tampil dengan pendedahan ini.
Lebih menyakitkan Nella berkata beliau cuba untuk mendesak pihak berwajib agar menyelesaikan isu ini dengan segera, namun demikian pihak berkenaan secara terang-terangan pula membuat penafian.
Bukan datang sebagai pengemis
Nella yang pernah bertugas sebagai fisio bagi pasukan Pelita Bandung Raya selama tiga tahun di Indonesia juga meluahkan rasa kekesalan dan kecewa dengan kelemahan sistem pengurusan kelab bola sepak yang disertainya di Malaysia.
Tujuan awal Nella datang ke Malaysia adalah kerana ingin mencari pengalaman bekerja di luar negara dan dalam masa yang sama berharap ianya dapat meningkatkan taraf kehidupan beliau.
Pada awalnya, beliau beranggapan kelab-kelab di negara ini mempunyai sistem pengurusan lebih baik berbanding negara lain terutama Indonesia. Namun, apa yang disangkakan gadis berasal dari kota Jakarta ini ternyata hanya sekadar indah khabar dari rupa.
“Saya datang ke sini untuk mencari pengalaman. Jika ingin bercakap mengenai gaji, mungkin tiada perbezaan antara dua negara ini [Malaysia dan Indonesia]. Tapi jika kita mempunyai karier sehingga luar negara, walaupun hanya negara jiran, itu bagus untuk menjamin masa depan,” ujar beliau ketika menjelaskan mengapa Malaysia menjadi pilihan beliau untuk mencurahkan bakti.
https://www.instagram.com/p/BQHPyG2FJ0Q/?utm_source=ig_share_sheet&igshid=o5dspa502bda
Tambah Nella, “Saya datang ke Liga Malaysia dengan harapan semuanya baik, tetapi kesudahannya amat menyedihkan. Saya perlu meminta-minta gaji atau kerja kepada mereka. Mereka fikir saya datang ke sini adalah untuk menjadi seorang pengemis,” ujar beliau dengan nada kecewa.
Pihak dalaman TCFC tampil memberi penjelasan
Selepas tampil dengan laporan awal perihal Nella, Fox Sport Asia sekali lagi tampil dengan laporan baru hasil maklumat sumber dalaman Terengganu City FC yang menghubungi mereka dan menjelaskan mengenai dakwaan tersebut. Kami turut dihubungi sendiri oleh individu yang sama, namun beliau enggan menamakan diri beliau- atau jawatan beliau bersama Terengganu City FC.
Menurut sumber tersebut, Nella dikhabarkan sememangnya telah mengikat kontrak bersama Terengganu City FC bermula dari Januari 2017 sehingga Disember 2017. Namun, beliau hanya sempat bertugas selama tiga bulan bersama kelab tersebut sebelum memohon untuk pulang ke Indonesia atas urusan peribadi.
Sumber tersebut turut menjelaskan isu ini sepatutnya tidak timbul kerana Terengganu City FC telah menjelaskan gaji Nella selama tiga bulan beliau berkhidmat bersama mereka.
‘Hanya perjanjian MOU’ – Nella
Untuk menjawab dakwaan sumber dari Terengganu City FC itu, kami kemudiannya bertanya kepada Nella, apakah benar dakwaan yang beliau hanya bekerja selama tiga bulan di TCFC sebelum pulang terus ke Indonesia ?
Ini jawapan beliau, “Itu tidak benar, saya hanya satu bulan di Terengganu City FC,. Saya pulang ke Indonesia kerana mereka tidak mampu untuk bayar satu bulan gaji, apatah lagi untuk gaji tiga bulan yang berikutnya?”
“Saya datang ke TCFC pada 25 Januari 2017 dan pulang ke Indonesia pada bulan Februari. Kenapa perlu mereka katakan saya bertugas selama tiga bulan di TCFC ? Jadi yang cakap jika tahun lepas saya ada di TCFC selama tiga bulan, pasti mereka tidak tahu apa-apa mengeni hal ini,” jelas Nella mengenai tempoh beliau bersama Terengganu City FC pada 2017 itu.
Menurut Nella lagi, tawaran dari Terengganu City FC hanyalah di dalam bentuk ‘Memorandum of Understanding’ (MOU) selama satu bulan, dan bukan kontrak selama setahun seperti yang didakwa.
“Pada 2017 mereka tidak berikan kontrak, cuma perjanjian MOU untuk tempoh 1 bulan sahaja, sebelum mereka menghubungi saya semula pada Oktober 2017 untuk menyertai mereka pada musim 2018.
“Saya katakan sekali lagi. Saya memang tidak ada masalah dengan Terengganu City FC pada tahun lepas [2017] kerana saya cuma satu bulan di sana.” tegas beliau mengenai dakwaan tersebut.
Tawaran sebenarnya dari Hanelang FC
Nella turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan wakil dari Hanelang FC di Bandung pada 9 November 2017.
“Sudah lama mereka tidak menghubungi saya, tiba-tiba telefon ajak saya pulang ke Terengganu. Pada awalnya saya fikir mereka datang untuk panggil saya semula ke Terengganu City FC, tetapi ternyata untuk Hanelang FC.”
Nella berkata, wakil Hanelang yang datang berjumpa dengannya adalah individu yang sama di Terengganu City FC.
“Mereka adalah orang yang sama dalam TCFC. Mereka memberi pelbagai janji manis kepada saya. Antaranya, termasuk menyelesaikan masalah permit dan visa saya.”
“Untuk pengetahuan, saya sanggup menolak tawaran menjadi fisio bagi pasukan wanita kebangsaan Indonesia hanya kerana termakan dengan janji manis dari mereka,” jelas mereka.
Bagaimanapun, kami tidak boleh mengesahkan sama ada individu yang menemui Nella tersebut adalah dari Henelang FC atau Terengganu City FC. Ia berkemungkinan juga adalah pihak ketiga membabitkan kedua-dua kelab tersebut.
Hanelang FC menarik diri daripada saingan Liga FAM
Hanelang FC mengejutkan bola sepak negara apabila membuat keputusan untuk menarik diri daripada saingan Liga FAM yang masih berbaki dua perlawanan.
Pasukan itu dilanda permasalahan kewangan yang serius sehingga menyebabkan berlakunya tunggakan gaji kerana ketiadaan penaja yang menjadi punca utama mereka mengambil keputusan tersebut. Turut terkesan ialah Nella yang menyertai pasukan itu pada musim 2018 selepas diyakinkan oleh individu yang menemui beliau di Bandung.
Menurut laporan dari Fox Sport Asia, Nella telah dilantik sebagai petugas fisioterapi Hanelang FC pada musim 2018. Bagaimanapun, apabila kelab tersebut menarik diri dari saingan Piala FAM, penaja Tulangis Group mengambil keputusan untuk meletakkan Nella kembali ke skuad TCFC dengan membuat perjanjian dimana bayaran gaji beliau akan ditanggung sepenuhnya oleh mereka.
Terengganu City FC sudah ada fisio berdaftar
Sebagaimana yang dikongsikan, kepulangan semula Nella ke kem Terengganu City FC buat kali kedua sepertinya tidak pernah dirancang. Pasukan TCFC pada ketika itu sudah mempunyai petugas fisio mereka sendiri yang berdaftar secara sah di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Oleh itu, kehadiran Nella hanyalah sekadar untuk memenuhi kehendak penaja yang berniat untuk membantunya turus bekerja bersama mereka. Sebaliknya, nama Nella tiada dalam rekod pendaftaran untuk Terengganu City FC pada tahun 2018.
Ini turut menjelaskan mengapa nama Nella tidak berada di dalam senarai pemain dan pegawai yang tidak menerima gaji dari kelab tersebut- seperti yang diarahkan berbuat demikian oleh Jawatankuasa Status FAM bari-baru ini.
Janji tidak ditepati
Berbalik kepada Nella, beliau menegaskan bahawa beliau sama sekali tidak pernah meminta untuk kembali ke Terengganu City FC setelah Hanelang FC menghadapi masalah. Apa yang dimahukan adalah hak kontrak yang terkandung di dalam kontrak beliau secara profesional.
“Saya tidak pernah meminta kerja untuk kembali menyertai Terengganu City FC. Apabila Hanelang ditutup, saya cuma minta hak saya secara kontrak professional.”
“Mereka mengarahkan saya datang ke Terengganu City FC dan berjanji akan membayar gaji saya. Tetapi ternyata ianya adalah satu penipuan.” ujar Nella.
Kami turut berkesempatan untuk bertanya mengenai desas desus yang mengatakan pihak yang membawanya datang kembali ke Malaysia menyediakan tempat tinggal, dan segala bayaran bil elektrik serta air ditanggung sepenuhnya. Nella pantas menyakal dakwaan tersebut.
“Boleh tanya kepada tuan rumah yang saya tinggal itu, adakah mereka baik dari Hanelang atau Terengganu City datang untuk membayar sewa rumah? Sampai ke hari ini, sewa rumah pun masih belum terbayar dan tuan rumah masih sering menghubungi saya,” jelas Nella.
Bagi Nella, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) harus bertegas mengenai isu gaji yang sering melanda bola sepak di negara ini termasuk di Hanelang FC dan Terengganu City FC.
Penutup
Pada pendapat kami, situasi Nella ini amat rumit sekali. Persoalan pertama ialah siapakah majikan beliau yang sebenarnya? Adakah ianya Hanelang FC, Terengganu City FC atau pun penaja yang dinamakan Nella sendiri, Tulangis Group?
Bagaimanapun kami berharap Nella dan semua pihak yang terlibat boleh duduk semeja untuk menyelesaikan kemelut ini- demi nama baik bola sepak negara, dan semangat di dalam sukan bola sepak itu sendiri.