Piala AFF antara, kalau tidak satu-satunya, kejohanan yang mengadakan perlawanan akhir secara timbal balik bagi mencari pemenang. Biarpun nampak sedikit janggal namun ia sudah menjadi satu tradisi bagi kejohanan di Asia Tenggara ini.
Bagaimana jika perlawanan akhir bagi kejohanan di Liga Malaysia menggunakan format seperti Piala AFF?
Mungkin ini akan menjadi satu sejarah baharu bola sepak di Malaysia dan jika ia berjaya diaplikasikan, tidak mustahil negara lain juga akan mengikut cara tersebut.
Tetapi, apakah idea ini akan diterima jika ia diketengahkan nanti?
Setiap sesuatu perkara pasti akan ada kelebihan dan kekurangan jika dilaksanakan. Andai kata sistem seperti ini digunapakai, bagi penyokong ianya satu berita gembira dan akan disukai kerana tidak perlu mengambil cuti serta melakukan pergerakkan ke sesuatu tempat yang jauh (stadium nasional).
Malah, bagi pihak pengurusan, mereka berpeluang untuk menambah pendapatan dari segi jualan tiket, jersi dan banyak lagi kerana jika ia melibatkan pentas akhir, secara tidak langsung penyokong akan hadir beramai-ramai ke stadium.
Untuk pasukan yang terlibat pula, mereka berpeluang melakukan kebangkitan bagi menjulang kembali piala itu jika keputusan perlawanan akhir pertama tidak memihak kepada kelab tersebut.
Pada waktu yang sama, ia tetap akan ada kekurangan jika format ini dilaksanakan seperti kemeriahan perlawanan akhir itu akan mula hilang seri. Pemain yang terlibat mungkin tidak dapat memberi aksi terbaik kerana mereka tahu, masih ada peluang kedua merebut kejuaraan.
Risiko paling besar adalah melibatkan kewangan. Bagi pasukan kecil atau tiada kewangan kukuh pasti akan memberi kesan dari segi logistik untuk menyediakan pentas akhir dengan gilang-gemilang selain ia memerlukan lebih dana untuk berkunjung ke tempat lawan.
Persediaan untuk perlawanan akhir sememangnya memerlukan kawalan ketat terutama melibatkan kedua-dua penyokong agar tidak berlaku bergaduhan di dalam mahupun luar stadium.
Andai semua ini terjadi, reputasi kejohanan akan terpalit dan memberi kesan kurang baik kepada Liga Malaysia itu sendiri.
Cuma menjadi persoalan, mampukah sesebuah pasukan menyediakan stadium yang menetapi kesemua syarat untuk pentas akhir ini? Penulis rasakan tidak.