Formasi, Statistik & ‘Attacking Football’ Antara 5 Perubahan Awal Kim Pan-gon Bersama Harimau Malaya

Kim Pan-gon 'steady' kalah Singapura 2022

Tidak termasuk kemenangan 3-0 ke atas kelab Singapore Premier League (SPL), Albirex Niigata malam tadi, perubahan awal dapat dilihat dalam dua aksi persahabatan Harimau Malaya di bawah kendalian Kim Pan-gon.

Malaysia menang 2-0 ke atas Filipina sebelum tewas 1-2 kepada Singapura pada Sabtu. Masih awal untuk menelah pendekatan skuad negara sepenuhnya, namun kita dapat lihat beberapa perkara positif dipamerkan.

Ini lima perubahan awal Kim Pan-gon lakukan, namun ada antaranya yang masih memerlukan peningkatan.

Menggunakan formasi fleksibel antara 4-3-3 dan 3-4-3

Berbeza dengan formasi yang digunakan bekas pengendali, Tan Cheng Hoe, Kim Pan-gon hanya meletakkan seorang pemain tengah yang lebih defensif peranannya, malah akan turun menjadi half-back dalam beberapa situasi. Cheng Hoe selesa meletakkan double pivot sebagai sumber kekuatannya di tengah-tengah padang.

Walaupun hanya ada seorang Defensive Midfielder – Syamer Kutty Abba, Kim Pan-gon dilihat mengarahkan pemain itu untuk turun sedikit ke bawah di antara dua bek tengah bagi membentuk seperti formasi tiga bek tengah. Peranan half-back Syamer Kutty ini ada dijelaskan Semuanya BOLA dalam artikel analisis ringkas.

Beliau tidak risau kerana ketika bertahan, Malaysia akan membentuk benteng berlima dengan dua bek sayap akan menyertai mereka di benteng. Formasi ini beri keseimbangan sama ada ketika bertahan atau menyerang.

Formasi sebelum ini juga beri keseimbangan. Kita boleh lihat ketika prestasi Harimau Malaya memuncak pada 2019. Namun, mungkin atas sebab prestasi serta pemilihan pemain, mereka gagal mengekalkannya. Formasi hanyalah di atas kertas, namun bagaimana pemain mengaplikasinya di atas padang menjadi aras penentu.

‘The Hong Kong Way’ – Manuskrip Ini Jelaskan Peranan Besar ‘Wingback’ dan ‘DM’ Dalam Sistem Kim Pan-gon

Peranan Half-Back buat DM yang sukar dicari di Malaysia

Di saingan Liga Super memang ada pemain-pemain Defensive Midfielder yang menonjol seperti Akram Mahinan, Khairu Azrin Khazali, Kenny Pallraj dan sebagainya. Namun, adakah mereka mampu untuk menjadi half-back?

Itu kekangan terbesar buat Kim Pan-gon untuk mencari pemain yang berbakat untuk bermain di posisi tersebut.

Tidak semua pemain di posisi tersebut mampu menjadi half-back yang berkesan jika mereka tidak biasa dengan peranan tersebut. Mengambil contoh Akram Mahinan, beliau boleh dikategorikan sebagai destroyer seperti Shukor Adan satu masa dahulu. Jika anda faham tugasan half-back, anda akan lihat beliau tidak sesuai.

Di bawah Tan Cheng Hoe, Akram Mahinan boleh dianggap pemain penting untuk memusnahkan pergerakan lawan dengan hadangannya. Tetapi, di bawah Kim Pang-gon, tidak pasti sama ada beliau masih ada tempat atau tidak. Bergantung kepada gaya permainannya, pengendali kelahiran Korea Selatan itu akan menilainya.

Apabila Cheng Hoe meletakkan Double Pivot, Akram Mahinan akan digandingkan dengan pemain tengah yang bermain sebagai Defensive Midfielder dan juga mampu naik membantu jentera serangan. ‘Kerja kotor’ diserah kepada Akram Mahinan, sementara pemain seperti Syamer Kutty umpamanya akan menjadi ‘penyambung’.

Namun, jika pemain kacukan Malaysia-China, Nathaniel Shio Hong Wan sudah bersedia, beliau adalah pemain untuk posisi tersebut. Tempohari, tahap kecergasannya mengganggu peluangnya untuk debut Harimau Malaya.

Apa Nasib ‘CM’ Lain Di JDT, Kesan Kehadiran Nathaniel Shio Hong Wan

Penyerang False 9 yang juga ‘rare’ dalam bola sepak Malaysia

Selain half-back, di Malaysia juga kurang atau mungkin tiada pemain yang mampu menjadi penyerang false 9. Syafiq Ahmad adalah salah seorang yang mampu diberikan peranan tersebut kerana boleh bermain di semua posisi di jentera serangan. Seperti kata pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora pada 2019;

“Tetapi, Syafiq [Ahmad] ketika ini adalah pemain penyerang terbaik di dalam Malaysia. Sebagai pemain nombor 9, sebagai penyerang kedua, dia juga boleh bermain di sayap dan beraksi di belakang penyerang utama. Dia boleh buat banyak tugasan. Dia adalah pemain yang bagus dan dalam prestasi terbaik. Saya tidak risau memasukkan Syafiq tetapi sedih kerana Diogo tidak dapat meneruskan permainannya.”

Tan Cheng Hoe gemar menggunakannya sebagai penyerang kedua – di belakang penyerang utama. Beliau akan berada di mana-mana di kawasan final third. Beliau turut akan dibantu dua Inside Forward di kanan dan kirinya.

Luqman Hakim Shamsudin adalah pemain yang dilihat mampu dicipta untuk menjadi sepertinya. Kemampuan pemain berusia 20 tahun itu bergerak secara roaming di jentera serangan dapat dilihat ketika menjadi pemain False 9 di jentera serangan skuad B-22 negara di pusingan kelayakan Piala Asia B-22 pada Oktober tahun lalu.

Tetapi, seperti kata Shahrom Kalam dalam rancangan perlawanan Malaysia-Singapura, yang membatasinya adalah kebolehannya untuk membuat keputusan disebabkan kekurangan pengalaman beraksi. “Saya rasa dia perlukan lebih banyak perlawanan,” ungkap bekas pertahanan tengah skuad kebangsaan itu tentangnya.

‘Attacking Football’ adalah teras permainan Kim Pan-gon

Mungkin ramai perasan, skuad negara nampak lebih berbahaya berbanding ketika dikendalikan Tan Cheng Hoe sebelum ini. Tiada istilah perlahan dalam corak permainan Malaysia dalam dua aksi tempohari kecuali di babak kedua selepas beberapa pemain utama dikeluarkan yang dilihat sedikit merencatkan corak permainan mereka.

Dalam ‘Kitab’ lama Kim Pan-gon memang jelas menunjukkan beliau menerapkan permainan menyerang di mana ada ‘2 second rule’ – pemain hanya ada dua saat untuk pergerakan dengan atau tanpa bola. Pemain juga perlu kerap menekan zon 14 sambil dua wingback akan membuka ruang di kedua-dua belah koridor.

Malah dalam sidang media selepas skuad kebangsaan tewas kepada Singapura, beliau terus terang memberi bayangan yang Malaysia akan bermain menyerang dan agresif. Itu yang dapat dilihat dalam dua aksi itu.

“Kita tidak perlu takut untuk menyerang. Kita cuba jadikan identiti bola sepak Malaysia yang lebih positif, agresif, dinamik dan proaktif. Ini yang kita mahu tunjukkan kepada penyokong.”

Kim Pan-gon, sidang media pasca perlawanan Malaysia-Singapura

Malaysia Vietnam Thailand kelayakan Piala Dunia 2021
Statistik Malaysia berdepan Vietnam dan Thailand dalam kelayakan Piala Dunia 2022
Malaysia Filipina Singapura 2022
Statistik Malaysia berdepan Filipina dan Singapura dalam aksi persahabatan

Pemain-pemain dilihat lebih ‘lapar’ penguasaan bola

‘Tekan, tekan dan tekan’ – sama ada dengan atau tanpa bola. Pemain-pemain diarahkan untuk mendapatkan penguasaan bola. Mereka perlu padatkan middle third dan mendominasi hantaran dan ia tampak menjadi.

Jika dilihat statistik ketika di bawah kendalian Tan Cheng Hoe dalam dua perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 sebelum ini, jelas Malaysia gagal menguasai permainan. Berdepan rakan Asean, Vietnam dan Thailand, mereka lebih menguasai permainan, malah skuad negara gagal mencipta percubaan yang banyak ke gawang.

Anda boleh bandingkan pula dengan statistik dua aksi berdepan pasukan ketiga terbaik Asean di belakang Vietnam dan Thailand iaitu FIlipina dan juga semifinalis Piala AFF Suzuki 2020, Singapura. Jelas, Malaysia mendominasi aksi dengan percubaan-percubaan ke gawang lawan walaupun ketika ditewaskan Singapura.

Ya, tekanan dan intensiti perlawanan tentu berbeza, namun statistik ini menunjukkan kemahuan pengendali dan juga pemain. Jika para pemain telah mendapat rentak bagaimana pendekatan Kim Pan-gon, tentu ia akan lebih menarik untuk dilihat. Hanya 10 hari pun Harimau Malaya sudah mempamerkan kemampuan yang sebegini.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN