Forensik Audit ‘Mat Kosong’ Kim Pan-gon Yang Ibarat Mengundang Gerimis

Kusangkakan panas berpanjangan, rupanya gerimis, rupanya gerimis mengundang a-ha-ha-ah….Dalam tak sedar ‘ku kebasahan….

Di atas adalah sebahagian daripada bait lagu Gerimis Mengundang yang pernah dipopularkan oleh kumpulan Slam satu ketika dahulu.

Makna di sebalik lagu tersebut amat mudah difahami sekiranya dirungkai. Ia membawa maksud kebahagian yang dinikmati hanya seketika atau harapan kebahagiaan yang hanya dinikmati sekejap sahaja sebelum ianya punah.

Ada apa Gerimis Mengundang dengan Harimau Malaya?

Makna di sebalik lirik tersebut sebenarnya tidak jauh berbeza daripada situasi yang dilalui oleh skuad kebangsaan Harimau Malaya pada ketika ini.

Selepas maruah bola sepak negara tercalar dan dimalukan di kejohanan Piala AFF 2020, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil langkah drastik membenarkan Ketua Jurulatih, Tan Cheng Hoe mengundur diri.

Beberapa minggu selepas pemergian Cheng Hoe, FAM kemudiannya melantik pengendali daripada Korea Selatan, Kim Pan-gon – dengan harapan prestasi pasukan negara di pentas antarabangsa mampu untuk dipulihkan.

Misi FAM tetap sama, iaitu untuk memastikan Malaysia layak secara merit ke kejohanan Piala Asia 2023 yang pada awalnya dijadualkan berlangsung di China.

Pemergian Cheng Hoe selepas hampir tiga tahun bergelar jurulatih Harimau Malaya boleh difahami walaupun tanpa badan siasatan bebas yang diketuai oleh Datuk Dell Akhbar Khan.

Apa yang kau buat Malaysia Piala AFF 2020
FOTO: FAM

Isu pemilihan pemain antara perkara yang sering dipersoalkan. Malah perkara berkaitan pemain sentiasa menjadi isu utama pada era Cheng Hoe walaupun siasatan badan bebas kemudiannya mendedahkan beberapa perkara lain termasuk isu keharmonian dalam kalangan pemain di bilik persalinan turut menyumbang kepada kegagalan pasukan negara di Singapura pada Disember lalu.

Jadi, apa yang boleh penyokong bola sepak Malaysia harapkan daripada pelantikan Kim Pan-gon dan barisan kejurulatihan lain dibawanya yang dianggap pakar untuk membentuk skuad Harimau Malaya yang baharu?

Kim Pan-gon ‘malaikat penyelamat’ Harimau Malaya?

Jika dinilai Pan-gon dan barisan kejurlatihannya yang memiliki kepakaran khusus di dalam beberapa aspek, dianggap telah memulakan tugas yang baik bersama pasukan negara.

Di dalam tempoh yang singkat, pakar taktikal dari Korea Selatan itu mampu menerapkan corak permainan menarik ketika pasukan negara merekodkan kemenangan 2-0 ke atas Filipina di kejohanan FAS Tri-Nations pada Mac lalu.

Untuk sekian lamanya sejak 2019, Malaysia menampilkan corak permainan yang menarik dan memiliki identiti, bermain secara direct but with purposed untuk menghukum lawan.

Malaysia Filipina 2022 persahabatan
FOTO: FAM

Malaysia tewas 2-1 kepada Singapura pada perlawanan berikutnya. Tetapi kekalahan itu boleh difahami kerana dua perlawanan yang dihadapi pada ketika itu dianggap sebagai medan jurulatih itu untuk melakukan eksperimen.

Pasukan negara turut menewaskan Albirex Nigata 3-0 selepas itu, dan pujian mulai menghujani usaha yang dilakukan oleh Pan-gon dan pasukannya.

Walaupun hanya baru sebulan bersama pasukan negara, Pan-gon berjaya menampilkan beberapa pemain yang sebelum ini sukar mendapat peluang membuktikan diri di pentas antarabangsa seperti Khuzaimi Piee.

Harimau Malaya Filipina Kim Pan-gon persahabatan 2022
FOTO: FAM

Pemain yang sebelum ini kehilangan arah seperti Akhyar Rashid juga kembali bernafsu untuk membuktikan sesuatu.

Tidak ada sesiapa boleh menyalahkan penyokong yang mula memasang harapan pasukan negara mampu melayakkan diri ke Piala Asia 2023, apatah lagi selepas Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) turut diberikan penghormatan selaku tuan rumah.

Kim Pan-gon undang gerimis

Di sebalik segala aura positif dan ‘cuaca panas’ yang menyelubungi kem negara selepas permulaan baik Pan-gon sebelum ini, timbul rasa gusar di kalangan penyokong dan pemerharti bola sepak tempatan selepas jurulatih dari Korea Selatan itu menyenaraikan nama 29 pemain untuk menghadapi saingan Kumpulan E kelayakan Piala Asia 2023.

Sekali lagi, isu pemilihan pemain kembali menjadi topik perbualan kedai kopi dan memenuhi setiap ruangan media sosial halaman-halaman sukan.

Paling meragukan sudah tentu melibatkan panggilan semula pemain naturalisasi, Guilherme de Paula. Tanpa sebarang penampilan dan minit perlawanan, De Paula ibarat ‘tin kosong’ yang dipanggil secara membuta tuli.

Anda tidak memerlukan juruanalisa untuk memanggil De Paula. Tidak ada tugasan scouting juga diperlukan kerana pemain ini belum lagi beraksi langsung sepanjang musim Liga Malaysia ini bersama kelabnya, Johor Darul Ta’zim (JDT).

Situasi ini membuatkan pemilihan pemain oleh Pan-gon dan barisan kejurlatihannya dipersoalkan oleh ramai pihak.

Forensik audit ‘tin kosong’

Sukar untuk memberi justifikasi kepada keputusan Pan-gon untuk memanggil semula De Paula untuk menyertai kem latihan pusat pasukan negara.

“Saya faham ia satu kejutan apabila kami menyenaraikannya [Guilherme De Paula] dalam kem latihan pusat kali ini. Apabila saya memilih pemain ia bukan disebabkan individu itu semata-mata tapi tapi lebih kepada kebaikan untuk kumpulan,” ujar beliau di sidang media semalam.

“Sebab pada akhir manti saya tidak mahu menyesal dengan keputusan yang dibuat. Walaupun banyak orang berkata mengenai dirinya, tapi saya mahu lihat dia bermain di depan mata saya sendiri.”

Guilherme de Paula Malaysia Vietnam kelayakan piala dunia 2021
FOTO: FAM

Buat masa ini tidak dapat dipastikan apakah kebaikan membawa kembali De Paula yang dimaksudkan Pan-gon.

Tiada statistik untuk dinilai. Ini bermakna sekiranya forensik audit dilakukan, De Paula juga boleh menjadi kesilapan terbesar di dalam susun atur sebuah penyata akaun.

Tetapi penyesalan yang dimaksudkan oleh Pan-gon boleh difahami. Hakikatnya pasukan Liga Malaysia ketandusan pemain penyerang untuk skuad kebangsaan – kerana kecenderungan pasukan Liga Malaysia menjadikan penyerang import sebagai sandaran.

Satu perkara yang pasti, nama-nama seperti Darrel Lok, Syafiq Ahmad, dan Norshahrul Idlan Talaha harus menjadi keutamaan berbanding De Paula untuk senarai akhir 23 pemain yang akan menghadapi Turkmenistan, Bahrain dan Bangladesh di Bukit Jalil bermula 8 Jun kelak.

Apa lagi selepas ini?

Demikianlah tanggapan paling logik yang ada pada ketika ini. Pemilihan pemain juga mungkin berdasarkan profil pemain yang sesuai dengan taktikal dan corak permainan yang mahu diterapkan jurulatih.

Tetapi selepas melihat beberapa nama lain seperti Natxo Insa, Shahrel Fikri dan Zhafri Yahya berada di dalam senarai bersedia sudah cukup menimbulkan tanda tanya buat peminat tatkala mereka adalah antara pemain yang memiliki lebih banyak minit perlawanan dan berada di prestasi terbaik buat masa ini.

Entah apa lagi kejutan oleh Pan-gon selepas ini, tidaklah dapat dipastikan. Ia pasti mengejutkan melihat nama De Paula dikekalkan di dalam senarai akhir 23 pemain sekiranya berlaku.

Ibarat panas yang dijangkakan akan berpanjangan, tetapi gerimis pula yang diundang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN