Reputasi bola sepak Kelantan The Red Warriors (TRW) terus dipertikaikan setelah pemilik kelab iaitu Norizam Bin Tukiman sekali lagi terpalit dengan isu terbaharu yang dianggap sangat mengecewakan.
Terbaharu, pasukan tersebut dilaporkan meminta jumlah pembayaran sebanyak RM50,000 kepada mana-mana pemain mereka yang ingin menamatkan kontrak dengan lebih awal.
Malah ianya didedahkan sendiri oleh penyerang Kelantan iaitu Nurshamil Abdul Ghani menerusi Instagram beliau semalam serta turut dikongsikan laman bola sepak, Palatao Bola.
Selain membuat pendedahan tersebut, Nurshamil turut menyatakan kelab tidak lagi membayar wang bonus kemenangan mereka ke Liga Super selain tiada pemotongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Perkongsian daripada laman Palatao Bola itu turut menarik perhatian beberapa bekas staf serta pemain untuk turut membuat kecaman serta sindiran keras kepada Zamsaham sebagai luahan rasa kecewa.
Antara yang kecewa dengan situasi pasukan ialah bekas pembantu jurulatih Kelantan iaitu Pol Corpas yang menyatakan beliau turut ditimpa nasib yang sama seperti Nurshamil sebelum itu.
Selain itu, bekas penyerang Kelantan TRW seperti Nuha Marong, Ismaheel Akinade, sedta Jack Hindle turut melemparkan komen keras di situ sebagai tanda tidak berpuas hati dengan pengurusan kelab.
“Lelaki tersebut sepatutnya kekal untuk menjual burger sahaja dan menjauhkan diri daripada dunia bola sepak,” ulas Ismaheel Akinade.
“Burger beliau rasanya sama seperti zakar Big Foot,” kata Jack Hindle yang pernah menyarung jersi Kelantan TRW beberapa tahun lalu.
Malah pelbagai lagi kecaman turut dilemparkan ke atas pasukan tersebut daripada penyokong bola sepak atas rasa tidak berpuas hati dengan cara ditetapkan oleh pengurusan Kelantan.
Sebelum itu, ramai pemain import Kelantan yang menamatkan kontrak lebih awal bersama kelab tersebut seperti Ismaheel Akinade serta Nuha Marong walau belum sempat satu musim penuh beraksi.
Kelantan tampil untuk musim pertama mereka dalam saingan Liga Super dengan keadaan serba serbi tidak menjadi termasuk isu menukar beberapa jurulatih.
Selain itu, Kelantan turut terpalit dengan isu pembayaran gaji kepada para pemain sehingga ada rungutan dibuat menerusi media sosial untuk mendapat perhatian ramai.