Sehingga kini masih belum ada sebarang tawaran yang serius buat pemain sayap lincah Terengganu, Faisal Halim berhubung dengan berita sebelum ini yang menyatakan ada kelab luar berminat untuk mendapatkan khidmat pemain tersebut.
Pemain yang mewakili skuad kebangsaan di saingan Piala AFF 2020 yang lebih mesra dipanggil ‘Mickey’ itu menjelaskan jika ada mana-mana pasukan dari luar negara yang serius mahu mendapatkan khidmatnya, sudah pasti akan ada tindakan susulan sehingga kini.
“Bagaimanapun sehingga kini tiada tawaran atau tindakan susulan daripada mana-mana ejen atau kelab berhubung perkara itu.
“Jadi saya tidak lagi memikirkannya, sebaliknya fokus utama saya adalah untuk membantu pasukan TFC dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
“Apabila tamat kontrak bersama pasukan itu pada hujung tahun ini, baharulah saya memikirkan semula sama ada untuk beraksi bersama kelab di luar negara atau sebaliknya, itupun jika ada tawaran.
“Lagipun tawaran daripada kelab di Portugal tahun lalu saya fikirkan bukan 100 peratus serius, memang ada ejen hubungi saya, tapi bukan ejen kelab berkenaan, lagipun tiada jalan penyelesaian dan kata putus, maknanya pihak berkaitan kelab itu tidak begitu serius untuk mendapatkan khidmat saya.
“Jadi saya rumuskan tiada lagi tawaran untuk saya kembangkan karier di luar negara setakat ini, lagipun dengan TFC saya tidak ada masalah untuk kembangkan karier di sini,” katanya kepada Harian Metro.
Pada tahun lalu, pemain bertubuh kecil ini mendapat perhatian oleh media tempatan setelah ejen pemain tersebut dihubungi dua ejen dari Liga Sepanyol dan Portugal yang mengakui berminat untuk mendapatkan khidmat Faisal setelah aksinya bersama skuad Harimau Malaya ketika itu dalam aksi persahabatan menentang Jordan menarik perhatian mereka di Stadium King Abdullah II, Amman, Oktober 2021.
Pemain yang berasal dari Pulau Pinang itu menyasarkan sekurang-kurangnya satu kejohanan bersama Terengganu dan akan memberi segala yang terbaik ketika ditanya mengenai sasaran beliau pada musim ini.
“Inilah sasaran saya sejak menyarung jersi skuad TFC bermula musim lalu, saya harapkan dengan kehadiran pemain import dan tempatan yang berkualiti, skuad kami mampu mendakap satu piala musim ini,” katanya yang menjelaskan tidak akan melepaskan hasrat jika ditawarkan untuk membuat penampilan di luar negara jika ada kelab yang berminat akan aksinya.
Pada aksi saingan Liga Super pada tahun lalu, pemain yang pernah beraksi bersama Sri Pahang ini telah meledak empat gol keseluruhan bersama Terengganu untuk membantu pasukannya berada di tangga keempat liga dengan beraksi dalam 22 penampilan.
Manakala di pentas Piala Malaysia pula, Faisal telah meledak 6 gol untuk membawa pasukannya mara sehingga ke peringkat separuh akhir sebelum tumpas kepada naib juara, Johor Darul Takzim (JDT).