Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) menjelaskan bahawa setiap keputusan oleh badan penganjur itu mengenai hukuman dan rayuan di Liga Malaysia diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang dilantik.
Menjelaskan perkara berkenaan, FMLLP turut berkata Ahlo Lembaga Pengarah tersebut terdiri daripada perwakilan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), wakil setiap pasukan bertanding, serta wakil berkecuali.
Kenyataan tersebut dimuatnaik ke dalam akaun Facebook milik badan tersebut untuk menjelaskan kekeliruan di kalangan pengikut dan komiti bola sepak tempatan yang sering menyalahkan badan penganjur tersebut atas setiap keputusan.
Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam berkata, empat pasukan Liga Super berada dalam bahaya kerana bakal berdepan hukuman pemotongan mata, dan kemungkinan tidak dibenarkan membuat pertukaran pemain pada jendela perpindahan kedua nanti kerana kegagalan melengkapkan beberapa dokumen pendaftaran pasukan.
Musim lalu, tindakan FMLLP menghukum beberapa pasukan akibat kegagalan yang sama menyebabkan badan penganjur tersebut dikecam oleh beberapa pihak dengan pelbagai tuduhan tidak berasas.
“Untuk makluman semua, sebarang keputusan berkaitan hukuman, rayuan dan sebagainya di peringkat FMLLP, ianya diputuskan oleh Ahli Lembaga Pengarah FMLLP yang terdiri daripada perwakilan dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), wakil dari pasukan-pasukan yang bertanding dan wakil berkecuali.” Ujar kenyataan tersebut.
“Sewaktu perjumpaan Kongress FMLLP 2017 yang berlangsung pada 14 Jun 2017 yang lepas, 24 wakil dari pasukan (1 setiap pasukan) telah memilih 3 wakil dari mereka untuk mewakili kesemua pasukan. 3 wakil ini dilantik menjadi Ahli Lembaga Pengarah FMLLP.”
“Selain wakil daripada pasukan, ada juga wakil dari FAM yang turut terlibat dalam menguruskan pasukan masing-masing. Jadi perwakilan dari pasukan-pasukan di dalam struktur FMLLP ini sangat kuat.”
Untuk rekod, Majlis kongres yang dipengerusikan oleh Tuanku Makhota Johor (TMJ) yang merupakan Presiden FAM, juga merangkap Pengerusi FMLLP telah melantik tiga wakil sepertimana yang dijelaskan oleh kenyataan di atas.
Tiga wakil tersebut ialah Encik Mustaza Ahmad, Encik Razali Dolhan dan Encik Marzuki Sulong masing-masing daripada UiTM FC, Sarawak FA serta Terengganu FA.
Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan kedudukan Encuk Razali Dolhan daripada Sarawak, setelah beliau melepaskan jawatan sebagai Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Negeri Sarawak (FAS) berkuat kuasa serta merta pada 27 Januari lalu.
Bagaimanapun, Razali Dolhan masih lagi memegang jawatan Naib Presiden FAS, tatkala jawatan Setiausaha Agung FAS akan dipangku oleh Encik Jefry Lana.
Oleh yang demikian, FMLLP mengharapkan tiada lagi isu dan tanggapan keputusan diragui, atau tuduhan menganiaya daripada mana-mana pihak ketika sesuatu keputusan atau hukuman dilakukan pada masa hadapan oleh badan penganjur tersebut.
“Semua keputusan hukuman adalah keputusan bersama oleh Ahli Lembaga Pengarah dan bukan keputusan individu,” ujar FMLLP menutup kenyataan tersebut.