FMLLP Tampil Perjelas Isu Pertukaran Venue Felda Utd vs JDT Serta Isu Berbangkit

Akhirnya FMLLP tampil dengan penjelasan berkenaan pertukaran venue perlawanan di saat akhir membabitkan perlawanan di antara Felda United dan juga pasukan JDT.

Pada asalnya perlawanan Liga Super yang ke-21 di antara kedua-dua pasukan dijadualkan berlangsung di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka pada 27 September 2017 (Rabu).

Namun demikian badan penganjur bola sepak tanah air itu membuat perubahan venue, hanya sehari menjelang perlawanan. Tindakan FMLLP ini mengundang tanda tanya dari pelbagai pihak termasuk daripada Felda United yang merupakan tuan rumah kepada perlawanan tersebut.

Hari ini FMLLP tampil dengan penjelasan. Sebab utama perubahan venue dilakukan adalah kerana tiadanya prasarana penginapan yang bersesuaian dan berdekatan dengan Stadium Tun Abdul Razak.

Kita ikuti penjelasan oleh pihak FMLLP:

Lokasi stadium ini unik berbanding stadium-stadium lain yang digunakan di dalam liga tempatan kerana ia mempunyai satu sahaja hotel yang boleh digunakan oleh pasukan pelawat yang berada kurang dari satu jam dari stadium tersebut. Walaupun stadium ini serba moden dan lengkap, jika pasukan pelawat tidak mendapat tempat di hotel tersebut, maka perjalanan pasukan pelawat ke stadium akan menjadi satu perkara yang tidak munasabah untuk dilakukan sebelum dan selepas sesuatu perlawanan profesional.

Di dalam kes ini, pasukan pelawat tidak dapat menempah hotel berkenaan dan terpaksa mengalami perjalanan yang tidak wajar pada hari perlawanan. Pasukan pelawat telah memaklumkan kesulitan ini kepada pihak FMLLP pada sebelah malam hari Isnin, dan wakil dari pihak FMLLP serta FAM telah berjumpa dengan wakil dari pihak Tuan Rumah seberapa segera yang mungkin iaitu pada awal pagi hari Selasa.

Di perjumpaan ini pihak Tuan Rumah diminta memberi pertimbangan yang sewajarnya kepada masalah yang dihadapi pihak Pelawat dan membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi termasuk cadangan pindaan jika perlu. Bila pihak FMLLP tidak mendapat sebarang kata putus atau penyelesaian yang boleh digunapakai dari pihak Tuan Rumah, maka pihak FMLLP terpaksa menghantar notis pindaan pada jam 3 petang.

Stadium Tun Abdul Razak, Jengka

Pihak FMLLP turut meluahkan kekesalan dengan tindakan beberapa pihak yang seperti menuding jari kepada badan penganjur itu akibat daripada keputusan mengubah venue perlawanan.

“Pihak FMLLP berasa kesal bahawa ekspresi dan luahan kekecewaan sesetengah pihak dibawa ke media massa walaupun ini adalan satu isu yang dibincangkan bersama. Bolasepak Malaysia memerlukan lebih kerjasama dan bukan luahan perasaan. Pihak FMLLP juga kesal bahawa keputusan yang telah dibuat terpaksa dilakukan pada saat akhir untuk menangani isu yang timbul ini.”

“Harus diingat bahawa pindaan venue ini bukan isu terasing kepada perlawanan ini sahaja. Masalah yang dihadapi oleh pasukan pelawat kali ini adalah masalah yang tidak boleh berulang untuk perlawanan-perlawanan yang seterusnya dimana pihak Tuan Rumah digesa mengambil inisiatif untuk memastikan satu hotel yang sesuai digunakan oleh pasukan pelawat itu sedia menerima pasukan pelawat mengikut keperluan pasukan-pasukan ini.”

Sejajar dengan itu, pihak FMLLP turut menyediakan beberapa jawapan bagi menjawab beberapa isu yang mungkin akan berbangkit berkaitan pemindahan venue perlawanan.

Isu-isu berikut akan timbul untuk membalas kenyataan dan tindakan FMLLP;

1. Pihak Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) sudah meluluskan penggunaan stadium berkenaan untuk perlawanan Piala AFC tempoh hari.

Kenyataan ini benar dan AFC dengan berbesar hati telah meluluskan stadium ini setelah gagal sebelumnya setelah diberi pertimbangan berdasarkan hotel yang berjarak lebih kurang 1 jam 15 minit dari stadium.

Tetapi harus diingat bahawa perlawanan AFC yang mungkin diadakan di stadium ini cuma 3 atau 4 kali setahun dan bukan juga setiap tahun berdasarkan kelayakan pasukan. Liga Malaysia memerlukan kegunaan stadium ini lebih kurang 16 kali setahun.

Jadi budi bicara yang digunapakai oleh AFC mungkin tidak dapat dipraktikkan dengan sama oleh FMLLP. Kedua dua situasi ini jauh berbeza.

2. Pasukan Pelawat ini dan yang lain telah menggunakan stadium berulang kali tanpa masalah.

Ini juga benar tapi pasukan-pasukan ini dapat menggunakan fasiliti hotel yang berdekatan dimana kali ini fasiliti itu tidak dapat digunakan. Kemungkinan ini boleh berlaku di masa akan datang.

Isu jarak hotel dari stadium dimana perjalanan lebih dari 1 jam bukan sahaja menjadi masalah kepada pasukan pelawat yang terlibat. Kebarangkalian untuk sesuatu kelewatan atau sebagainya berlaku adalah lebih tinggi jika perjalanan pada hari perlawanan adalah terlalu jauh.

Ini memberi kesan kepada logistik dari segi siaran, komersial dan boleh membawa impak kepada perjalanan teknikal perlawanan. Isu ini mungkin dilihat dari satu arah sahaja oleh sesetengah pihak tetapi ia mempunyai impak yang jauh lebih besar.

Rumusan

Akhir sekali, setelah mempertimbangkan semua faktor tersebut diatas, FMLLP dengan berat hati dan kesal kepada semua yang terlibat, terutama sekali penyokong, media dan penaja yang dihormati, memutuskan untuk meminda venue ke Stadium Shah Alam pada hari Khamis, 28 September 2017.

Sumber:

1. Facebook FMLLP (2018): PINDAAN TARIKH DAN VENUE PERLAWANAN LIGA SUPER LS21 DI ANTARA FELDA UNITED DAN JDT; https://web.facebook.com/footballmalaysiallp/posts/1639691106103388

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN