Di dalam usaha mengubah wajah bola sepak domestik ke arah penswastaan sepenuhnya, Usahasama Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) turut merancang untuk melakukan perubahan kepada struktur organisasi setiap pasukan bertanding di Liga Malaysia.
Untuk proses itu dilaksanakan, FMLLP mahukan setiap pasukan untuk mendaftarkan nama pemilik kepada setiap pasukan yang bertanding pada masa hadapan.
Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam menjelaskan bahawa penamaan nama pemilik adalah satu keperluan untuk menyelesaikan isu gaji tertungak yang sering dilaporkan di kalangan pasukan di Liga Malaysia.
Lebih daripada itu, ia adalah antara langkah yang perlu diambil untuk mengubah struktur organisasi setiap pasukan secara keseluruhan.
Bercakap seperti yang dilaporkan oleh Berita Harian, Kevin berkata:
“Kita memang ada cadangan untuk melakukan perubahan dalam struktur pasukan dalam Liga Malaysia, kita mahu setiap pasukan mendaftarkan pemiliknya.”
“Ini penting bila isu gaji tertunggak dibangkitkan, kita akan ada pihak yang bertanggung jawab.”
“Ini seperti syarikat yang memiliki pemilik, jika gaji pekerja tidak dibayar, kita tahu siapa yang akan bertanggung jawab.”
“Kita dalam proses memasukkan peraturan baharu ini dalam syarat bagi pelesenan kelab, mungkin dalam tempoh dua tahun akan datang, struktur baru pasukan ini boleh dilaksanakan,” jelas Kevin.
Baru-baru ini beberapa media arus perdana melaporkan beberapa buah kelab dan persatuan di Liga Malaysia berada di dalam radar FIFA untuk diambil tindakan, selepas dilaporkan gagal melunaskan gaji pemain masing-masing.
Antaranya ialah Kuantan FA yang mempunyai tunggakan gaji berjumlah RM145,250 kepada enam bekas pemain. Manakala bagi pasukan Liga Premier, Sarawak (satu kes FIFA, dua kes FAM), Pulau Pinang (satu kes FIFA, tiga kes FAM) dan Felcra (dua kes FAM) adalah antara pasukan yang disenaraikan.
Empat pasukan Liga Super turut dilaporkan mempunyai kes bersama FAM melibatkan isu yang sama ialah PKNS FC (satu), Kelantan (dua), Pahang (satu) dan PKNP FC (dua).
Kevin turut mengesahkan bahawa setakat ini hanya kelab Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mempunyai pemilik iaitu Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Ada pihak yang tidak senang bila saya bagi contoh JDT. Tetapi hakikatnya, kelab ini yang mempunyai struktur organisasi yang baik.”
“Jika kita lihat presiden pasukan negeri, mereka semua adalah dilantik, jadi siapa yang akan bertanggungjawab secara undang-undang bila masalah seperti tunggakan gaji ini timbul?,” tambah Kevin.
Langkah pengubahan struktur organisasi secara keseluruhan pasukan di Liga Malaysia dan menamakan pemilik bagi setiap kelab yang bertanding, wajar disambut baik oleh setiap pihak demi masa hadapan bola sepak negara.
Selain daripada menjanjikan urus tadbir yang lebih baik, langkah ini mampu memastikan setiap kelab untuk bersaing secara kompetitif sesuai dengan budaya sesebuah kelab bola sepak yang profesional sepenuhnya.
Ia bukan langkah yang mudah, kerana turut melibatkan isu perundangan dan juga perlembagaan di dalam persatuan. Bersediakah kita untuk perubahan?