FMLLP & Ampersand Sports Meterai Perjanjian Hak Penajaan Liga Malaysia Berjumlah Minimum RM104 Juta

Ampersand Sports

Usaha Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk mentransformasikan liga mengambil satu langkah ke hadapan lagi pada hari ini apabila termeterainya perjanjian dengan Ampersand Sports Sdn Bhd.

Dalam perjanjian ini, FMLLP bersetuju untuk melantik syarikat tersebut sebagai agensi eksklusif bagi hak komersil pertandingan Liga Malaysia.

Hak menjadi agensi eksklusif bagi hal-ehwal komersil liga ini akan menjanjikan Liga Malaysia menerima sekurang-kurangnya RM104 juta bagi tempoh selama lima (5) tahun bermula tahun 2018 daripada Ampersand Sports.

Liga Malaysia yang dimaksudkan adalah merangkumi Liga Super, 100Plus Liga Premier, TM Piala Malaysia dan juga Piala FA.

Nilai penajaan ini dijangka akan menjadi lebih besar daripada RM104 juta dalam jangka masa 5 tahun sebaik sahaja Ampersand Sports memulakan kerja mereka.

Majlis perjanjian ini disempurnakan oleh DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor (TMJ) selaku Pengerusi FMLLP dan Tan Sri Vincent Lee selaku Pengerusi Ampersand Sports di Johor Bahru, hari ini.

Menurut TMJ, Ampersand Sports membawa kepakaran perhubungan awam, kreatif dan komunikasi kepada Liga Malaysia.

“Ini merupakan sebahagian daripada pelan tindakan (blueprint) untuk membawa bola sepak Malaysia ke peringkat seterusnya,” titah baginda.

Apa yang terjadi kepada perjanjian dengan MP & Silva?

Ketika ditanya oleh wartawan mengenai status perjanjian MP & Silva dengan Liga Malaysia, TMJ bertitah:

“Apa yang berlaku antara MP & Silva berlaku ketika saya masih belum mengambil alih tampuk pentadbiran bola sepak Malaysia. Saya tak tahu mengenai perjanjian itu. Apa yang kita buat sekarang ini adalah untuk masa depan bola sepak kita.”

Soalan ini kemudiannya dijawab semula oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingam yang berkata ‘ada beberapa agensi sebelum ini yang memegang keseluruhan hak liga mendapati tidak sesuai untuk pasaran Malaysia’.

“Jadi kita bertindak memecahkan hak-hak liga ini dan telah memberi Ampersand Sports hak komersil liga kita sahaja.”

Bagaimana dengan hak penyiaran liga?

Bercakap mengenai hak penajaan, tak sah jika tidak berbicara mengenai hak penyiaran liga. Menjawab soalan wartawan mengenai isu ini, Kevin Ramalingam berkata:

“Sebelum ini kami melantik agensi (MP & Silva) untuk menjual hak penyiaran liga kepada penyiar-penyiar. Tetapi bermula tahun depan, FMLLP sendiri akan menjual hak penyiaran liga kepada penyiar tanpa penglibatan pihak ketiga.”

Kevin turut menambah:

“Kita akan mengumumkan keputusan perjanjian hak penyiaran liga dalam masa terdekat nanti.”

Visi TMJ yakinkan Ampersand Sports

Sementara itu bagi Pengerusi Ampersand Sports, Tan Sri Vincent Lee, visi jauh dan kepimpinan TMJ merupakan punca utama mereka mahu membantu baginda untuk sama-sama membangunkan bola sepak tempatan dengan syarikat-syarikat korporat.

Malah mereka turut memberitahu jika TMJ meletak jawatan, Ampersand Sports turut akan membatalkan kontrak perjanjian ini.

“Sebelum ini kami langsung tidak berminat dalam industri bola sepak. Tetapi kami melihat sendiri visi, kerja keras dan cara baginda mendekati peminat bola sepak. Ia membuatkan kami rasa yakin untuk turut sama menyumbang dalam industri bola sepak tempatan,” kata Vincent.

Beliau turut menambah:

“Kami akan melakukan yang terbaik untuk membantu pembangunan bola sepak tempatan disamping memastikan sokongan di kalangan pengiklan dan penaja. Kami juga komited untuk membawa lebih nilai kepada FMLLP dan peningkatan status bola sepak Malaysia di kalangan para pengiklan.”

Jumlah penonton Liga Malaysia yang besar dan dijangkakan akan terus meningkat juga mendorong minat mereka untuk bekerjasama dengan FMLLP.

“Jenama [syarikat-syarikat korporat] seharusnya melihat sokongan kepada bola sepak tempatan, memandangkan penontonnya adalah beberapa kali lebih besar daripada Liga Perdana Inggeris,” tambah Vincent lagi.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ampersand Sports, Hasnan Hassan pula kerjasama ini akan memberi peluang kepada peminat-peminat bola sepak tempatan untuk mengenali pelbagai jenama di pasaran yang akan dibawa oleh mereka.

“Sebagai rakan rapat kepada FMLLP, kami yakin dapat membantu meningkatkan hasil yang dijana oleh pelbagai pertandingan bola sepak tempatan,” katanya.

Sebagai CEO Ampersand Sports, Hasnan akan bertanggungjawab merangka strategi untuk membawa lebih banyak penajaan-penajaan syarikat korporat untuk Liga Malaysia.

Beliau berpengalaman luas di bidang pemasaran pengiklanan dan penajaan di pelbagai pertandingan termasuklah Piala Dunia FIFA. Kepakaran pemasaran beliau di bidang ini diasah ketika berkhidmat dengan Astro dan ESPN sebelum menubuhkan khidmat perundingan pemasaran dan media.

Majlis menandatangani perjanjian tersebut disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif FMLLP, Kevin Ramalingan. Turut hadir bagi pihak Ampersand Sports ialah Ketua Pegawai Eksekutif Trapper Media, K Sivanathan dan Ketua Pegawai Eksekutif Ampersand Advisory, Sandeep Joseph yang merupakan sebuah syarikat perunding media dan data.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN