Florentino Perez (gambar bawah) telah menafikan Real Madrid sedang berbincang mengenai perpindahan penyerang antarabangsa Sepanyol Alvaro Morata ke Manchester United pada musim panas ini.
Sebaliknya, Presiden Real Madrid berusia 70 tahun tersebut membayangkan bahawa Morata akan berada dalam perancangan Los Blancos untuk saingan pada musim hadapan.
Sebelum ini media melaporkan Alvaro Morata (gambar bawah) akan meninggalkan Estadio Santiago Bernabeu untuk saingan 2017-2018.
Alvaro Morata hanya tampil dalam 14 perlawanan La Liga di bawah kendalian Zinedine Zidane pada musim lalu.
Ejen kepada pemain yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya pada Jumaat lalu, Juanma Lopez turut mengesahkan Morata ingin beraksi secara lebih kerap untuk saingan musim hadapan.
Juanma Lopez sebelum ini turut mengesahkan Manchester United telah membuat satu pakej tawaran yang sangat menarik kepada Real Madrid untuk penyerang berusia 25 tahun tersebut.
Khabar angin di Sepanyol turut melaporkan Real Madrid telah menolak tawaran berjumlah €60 juta daripada Manchester United baru-baru ini.
Walaupun desas-desus menyatakan persetujuan telah tercapai antara Morata dan Manchester United, namun kedua-dua pihak masih gagal meyakinkan Florentino Perez untuk melepaskan Morata.
“Saya tidak fikir dia akan meninggalkan Real Madrid sama sekali,” ujar Perez kepada Onda Cero.
“Tidak ada siapa mahu Morata berpindah meninggalkan Estadio Santiagao Bernabeu.”
“Saya belum mempunyai kesempatan untuk bercakap sendiri dengan Morata mahu pun ayahnya. Kami tenang menghadapi situasi ini.”
“Saya ada terbaca mengenai yuran perpindahan melibatkan nilai berjumlah €75 juta. Namun sehingga kini, kami tidak menerima apa-apa.” ujar Perez lagi.
Tidak dapat dipastikan sama ada kenyataan daripada Forentina Perez itu mempunyai maksud yang lain.
Kenyataan tersebut mungkin membayangkan Real Madrid mahukan tawaran yang lebih tinggi daripada Manchester United.
Real Madrid sebelum ini dilaporkan telah mengalihkan minat mereka untuk mendapatkan David de Gea dari Old Trafford.
Sejak daripada itu, Gianluigi Donnarumma (gambar atas) di A.C Milan dijadikan pilihan utama dalam pemburuan penjaga gol baharu Los Blancos
Gianluigi Donnarumma dilaporkan menolak tawaran lanjutan kontrak daripada A.C Milan baru-baru ini. Kontrak penjaga gol berusia 18 tahun itu akan tamat pada musim panas 2018.
Sumber:
1. Ewan Roberts, METRO (2017): Manchester United’s hopes of landing Alvaro Morata dealt blow by Real Madrid president;
http://metro.co.uk/2017/06/20/manchester-uniteds-hopes-of-landing-alvaro-morata-dealt-blow-by-real-madrid-president-6720814/
2. ADRIANA GARCIA, ESPN FC (2017): No David De Gea deal or Alvaro Morata bid – Real Madrid’s Florentino Perez;
http://www.espnfc.com/story/3146060/no-david-de-gea-deal-or-alvaro-morata-bid-real-madrids-florentino-perez
3. Alex Richards, Mirror (2017): Gianluigi Donnarumma leaves AC Milan entering a new era in a state of deflation after contract decision;
http://www.mirror.co.uk/sport/football/news/gianluigi-donnarumma-leaves-ac-milan-10631002