Jualan tiket perlawanan akhir unifi Piala Malaysia 2018 di antara Terengganu FC menentang Perak mendapat sambutan yang mengalakkan apabila 3000 tiket yang diperuntukkan untuk jualan online di laman web Shopee sudah habis dijual sejak pagi tadi.
Semalam, badan pengendali Liga Bolasepak Malaysia (MFL) mengumumkan diskaun 20 peratus ke atas setiap jualan tiket online yang dibeli daripada laman web Shopee dan mula dijual pada jam 10 pagi tadi.
Walaubagaimanapun, tinjauan di laman web shopee mendapati tidak sampai 30 saat, jualan tiket online tersebut sudah habis dijual dengan setiap satu transaksi hanya boleh membeli 4 keping tiket sahaja.
Para penyokong Terengganu FC dan Perak boleh menebus tiket online shopee ini pada 26 Oktober 2018 (Jumaat) bermula jam 10 pagi hingga 6 petang, dan pada hari perlawanan 27 Oktober 2018 (Sabtu) bermula jam 10 pagi hingga 7 petang di kaunter tiket Stadium Shah Alam.
Biarpun jualan tiket online di laman web Shopee sudah habis dijual, para penyokong Terengganu FC dan Perak juga masih boleh membeli tiket perlawanan secara online di laman web www.tickethotline.com.my bermula pada hari esok (25 Oktober 2018) jam 10.00 pagi.
Melalui info grafik yang dipaparkan oleh badan pengendali bola sepak Malaysia (MFL), sebanyak 10 000 tiket dewasa dan 500 tiket kanak-kanak diperuntukkan untuk jualan online di laman web tickehotline tersebut.
Timbalan Presiden Persatan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 30,000 keping tiket diperuntukkan kepada penyokong setia skuad Penyu yang berminat untuk menyaksikan perlawanan itu.
“Tiket perlawanan akhir Piala Malaysia akan dijual pada Khamis ini di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah. Kaunter jualan tiket akan mula dibuka pada jam 10 pagi hingga habis pada hari berkenaan dengan RM50 bagi dewasa manakala bagi kanak-kanak RM10 dan hanya lima keping tiket dibenarkan bagi setiap peminat.
“Kami harap kehadiran lebih 30,000 penyokong pada aksi final nanti mampu menyuntik lagi motivasi pemain untuk menjulang piala berprestij itu selepas kali terakhir dimenangi pada 2001,” katanya.
Sementara itu, Menteri Besar Terengganu, YAB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, mengistiharkan cuti peristiwa bagi negeri Terengganu pada hari ahad (28 oktober 2018).
Pengumuman awal itu dibuat kerana memberi ruang kepada agensi-agensi dan sekolah-sekolah membuat perubahan jadual yang berkaitan dalam perancangan mereka.