Arsenal akan berhadapan dengan Chelsea dalam perlawanan final Piala FA 2017. Ianya pertembungan di antara 2 seteru sebandar. Arsenal sebelum ini sudah menjulang piala ini 2 kali daripada 3 musim sebelum ini.
Chelsea pula mencari kejuaraan domestik berganda selepas menjuarai EPL minggu lalu. Kali terakhir Chelsea juara Piala FA adalah pada 2012.
Kedua dua pasukan akan beraksi untuk kali ke-190 dalam sejarah kelab mereka. Rekod sebelum ini, 73 kemenangan memihak kepada Arsenal manakala 62 memihak kepada Chelsea.
Kali terakhir 2 pasukan ini bertemu di Piala FA adalah pada 2009, di peringkat separuh akhir. Jaringan lewat Didier Drogba memastikan Chelsea menang 2-1.
Arsenal
Kempen yang kurang memberangsangkan di EPL musim ini walaupun Alexis Sanchez menunjukkan salah satu aksi terbaik dalam hidup beliau.
Arsene Wenger kini boleh memberikan senyuman kepada penyokong Arsenal jika mereka menjulang piala ini. Jika juara malam ini, bermakna Arsenal menjuarai 3 Piala FA dalam 4 musim terakhir.
Arsenal kehilangan khidmat kapten berpengaruh mereka Laurent Koscielny yang digantung perlawanan. Gabriel pastinya calon untuk mengisi kekosongan itu.
Wenger juga mengesahkan Mustafi masih belum cergas sepenuhnya namun pemain antarabangsa Jerman itu mungkin akan terlibat di dalam perlawanan ini.
Mesut Ozil dan Giroud juag cergas sepenuhnya. Ozil masih belum memberikan komitmen untuk kekal di Arsenal buat masa ini.
5 perlawanan terakhir Arsenal dalam semua pertandingan berakhir dengan 4 kemenangan dan 1 kekalahan.
Chelsea
Antonio Conte akan merasai atmosfera final pertama beliau di Wembley. Beliau juga memberikan gambaran akan memberikan peluang kepada beberapa pemain muda.
Beliau juga memberitahu wartawan yang beliau di dalam dilema tentang pemilihan pemain yang akan beraksi. Ada ramai pemain yang berada dalam prestasi terbaik.
Terutama sekali untuk mengisi bahagian tengah dan serangan. Adakah Conte akan memberikan ‘hadiah’ kepada Batshuayi untuk memulakan perlawanan kali ini?
Ini selepas pemain muda itu menjaringkan 4 gol dalam tempoh 126 minit di dalam padang musim ini. Selain itu, Diego Costa dilihat beraksi di bawah par dalam beberapa perlawanan.
Antonio Conte menganggap Arsenal sebagai pasukan pilihan kali ini. Ini kerana prestasi semasa Arsenal yang sangat baik.
Chelsea tetap pasukan yang produktif dengan 106 gol dari kesemua 45 perlawanan mereka musim ini, setakat ini. Mereka menang kesemua 5 perlawanan terakhir mereka.
Perkembangan pasukan
Laporan media pro-Arsenal banyak menulis bahawa Arsene Wenger akan menggunakan Ospina dalam perlawanan akhir kali ini.
Alex Oxlade-Chamberlain masih bergelut untuk mencapai piawaian kecergasan pasukan. Danny Wellbeck cergas sepenuhnya, jadi Wenger akan memilih sama ada menggunakan Wellbeck ataupun Giroud.
Chelsea tidak ada isu dengan kecederaan yang signifikan. Cuma Conte pening untuk menurunkan pemain di bahagian tengah.
Kesebelasan utama kemungkinan:
Arsenal: Ospina, Holding, Mertesacker, Monreal, Bellerin, Xhaka, Ramsey, Oxlade-Chamberlain, Ozil, Sanchez, Giroud
Chelsea: Courtois, Azpilicueta, Luiz, Cahill, Moses, Kante, Fabregas, Alonso, Pedro, Hazard, Costa
Siapa akan menang malam ini?