Bekas pemain pertahanan pasukan kebangsaan, Daudsu Jamaluddin tampil dalam sebuah filem pendek berdurasi enam minit yang diterbitkan oleh pasukannya Kelantan United FC (KUFC).
Dalam permulaan filem yang diarahkan oleh Zaki Mustafa itu, penonton diperdengarkan dengan bacaan surah al-‘Asr yang bermaksud ‘Demi Masa’ yang telah menjadi tajuk filem tersebut.
Babak pertama memaparkan sekumpulan kanak-kanak dan seorang remaja yang leka bermain bola sepak sehingga lewat petang dan kemudiannya ‘dihambat’ oleh seorang pakcik tua kerana waktu Maghrib sudah semakin hampir.
Kemudian remaja berkenaan malarikan diri dari padang itu dan hampir-hampir dilanggar oleh sebuah kereta yang dinaiki oleh Daudsu. Ketua pasukan KUFC itu kemudian membawa remaja tersebut menaiki kereta dan mula memberikan nasihatnya.
“Kita ni dik main bola ni, kalu kena cara gak, jadi ibadah. Bila jadi ibadah gak, boleh pahala. Contoh main bola ni, kita tutup aurat, pah kita tak baloh (gaduh), lama-lama saing (kawan-kawan) jadi koho (makin) rapat.
“Pah petang-petang main bola alik petang tu, berhenti awal sebelum ngorib (Maghrib), barulah berkat. Kita main bola ni, serupa sembahyang jemaah. Main bola ni tak bolah main seorang, kena main berpasukan.
“Kena ada keeper, kena ada bek, kena ada striker, midfield, barulah cukup lengkap. Kalu tidak, gak tak boleh, Messi tak main seorang. Dia main se’team’.
“Serupa macam sembahyang, bila sembahyang jemaah ni, pahala pun lebih, kita khusyuk, kita fokus, barulah lengkap. Bila kita main sepasukan, team kita main, orang tengok pun gagah, kuat. Lama-lama gak, bolehlah sohornya (terkenal). Orang tengok pun tak lekeh.”
Di penghujung filem pendek tersebut, terdapat suara latar yang memberikan tafsir surah al-‘Asr yang disampaikan oleh bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Saksikan video tersebut di sini.
Kredit Foto: Kelantan United