Skuad The Red Warriors melakar kejutan malam tadi apabila mengejutkan juara liga super 2018, Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan jaringan 1-0 di Stadium Sultan Muhammad ke IV dalam aksi Piala Malaysia.
Kemenangan itu telah meletakkan Kelantan berada di tangga kedua dalam kumpulan C dengan berbekalkan 4 mata. Namun begitu, timbul rasa tidak puas hati tentang mutu pengadilan apabila JDT dinafikan 2 sepakan penalti.
Perkara itu dinyatakan oleh pengurus pasukan tersebut, Luciano Figueroa yang menyifatkan mutu pengadilan sangat mengecewakan sehingga menjejaskan peluang JDT untuk menyamakan kedudukan.
“Pemain telah bermain dengan baik namun keputusan pengadil dari awal lagi yang tidak memberikan penalti diragui apabila Fernando Marquez dijatuhkan ketika situasi satu lawan satu dengan penjaga gol lawan.
“Ada dua tiga insiden dimana pada pandangan saya keputusan pengadil tidak menyebelahi kami. Kami juga dinafikan dua sepakan penalti di separuh masa kedua.
“Memang agak sukar untuk bermain bukan sahaja menentang lawan yang bertahan sepenuhnya namun keputusan pengadil yang tidak menyebelahi kami menambahkan lagi kesukaran itu,” katanya melalui laman facebook JOHOR Southern Tigers.
Dalam perlawanan itu, gol tunggal Kelantan hadir pada minit ke-45 menerusi jaringan pemain import Brazil,Cristiano Santos yang menyempurnakan sepakan penalti selepas Azrif Nasrulhaq bertindak mengasari Mohd Danial Ashraf Abdullah dalam kawasan kotak penalti.
Malah, Cristiano Santos hampir meledak gol kedua pada minit ke-63 namun berjaya diselamatkan oleh penjaga gol JDT, Farizal Marlias.
JDT bertungkus lumus merapatkan jurang gol menerusi percubaan Ahmad Hazwan Bakri dan pemain gantian, Darren Lok pada minit ke-67 dan minit ke-89 namun sedikit tersasar.
Kelantan juga terpaksa bermain dengan sembilan orang pemain pada minit akhir perlawanan selepas pengadil melayangkan kad merah kepada pemain gantian, Mohd Hakimi Abdullah dan Santos.