FIGC Pecat Ventura, Persatuan Pemain Turut Desak Presiden Letak Jawatan

Gian Piero Ventura datang bertemu dengan Persatuan Bola Sepak Itali (FIGC) semalam selepas kegagalan Itali ke Piala Dunia.

Beliau sebelum ini menegaskan tidak akan berundur dan mahu membentangkan laporan prestasi pasukan. Seterusnya beliau mahu pihak FIGC dan kejurulatihan beliau mencari penyelesaian.

Namun usaha Ventura itu sia-sia apabila FIGC terlebih dahulu memecat beliuau kerana kegagalan membawa Itali mara ke Piala Dunia 2018. Ini adalah kali pertama Itali gagal ke Piala Dunia dalam tempoh 60 tahun.

Media Itali menulis ini adalah ‘kiamat’ kepada bola sepak Itali. FIGC dalam kenyataan rasmi mereka

“Mulai hari ini (Rabu), Gian Piero Ventura bukan lagi ketua jurulatih kebangsaan Itali. Keputusan ini dibuat dalam ‘mesyuarat krisis’ yang turut dihadiri oleh presiden, Carlo Tavecchio”

“FIGC terpaksa memecat beliau kerana tiada tanda-tanda Ventura akan melepaskan jawatan itu.”

FIGC menjangkakan mereka akan dapat menamakan jurulatih baru Itali pada hujung bulan ini. Dan ia dijangka pada 28 November 2017 kerana itu adalah tarikh mesyuarat bulanan mereka.

Namun penyokong Itali tidak rasa memecat Ventura akan menyelesaikan masalah bola sepak di Itali. Mereka juga mendesak Tavecchio untuk meletak jawatan.

Seakan-akan kenyataan FIGC yang membuat keputusan memecat Ventura kerana jurulatih itu tidak ada tanda-tanda letak jawatan kini terkena kepada presiden FIGC sendiri.

Ini kerana, keputusan melantik jurulatih adalah di tangan beliau. Sebelum ini ramai jurulatih berkelas dunia di Itali, Tavecchio masih memilih Ventura.

Ketika Itali bergelut dengan prestasi dalam beberapa perlawanan besar terutama sekali perlawanan persahabatan dan perlawanan menentang Sepanyol di kelayakan Piala Dunia, Tavecchio tidak dapat membuat keputusan untuk memecat Ventura.

Sedangkan persatuan bola sepak Croatia memecat jurulatih mereka pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan untuk kelayakan kerana Croatia gagal menjuarai kumpulan.

Keputusan itu diambil meskipun Croatia berpotensi hilang tempat di play-off kepada Ukraine.

Presiden Kesatuan Pemain Profesional Itali, Damiano Tomassi yang juga bekas pemain Roma dan Itali berkata, pihak mereka sudah ‘merempuh’ pejabat FIGC dan meminta Tavecchio meletak jawatan kerana kegagalan membuat dan menilai keputusan.

Tommasi mendapat mandat daripada suara para pemain yang majoriti mahukan Tavecchio letak jawatan. Namun Tavecchio berkeras tidak akan letak jawatan. Tomassi berkata:

“Mereka tidak ada tanda-tanda mahu berubah. Tavecchio memberitahu dia tidak akan melepaskan jawatan dan terus bekerja di pejabat seperti biasa.”

“Semakin ramai yang tidak ada kelayakan dan pengetahuan dalam bola sepak menggalas jawatan di situ (FIGC) dan mereka yang membuat keputusan untuk masa depan bola sepak kita.”

“Kami menggesa agar satu mekanisme pemilihan yang lebih baik dilakukan. Lantik golongan muda untuk memacu perubahan dan menyelesaikan masalah bola sepak di Itali.”

“Memecat jurulatih tidak akan menyelesaikan masalah bola sepak kita. Jika tidak kita akan terus merasai sup yang sama dan terpaksa menelannya walaupun ia tidak sedap.”

Ventura sebelum ini menyatakan beliau adalah orang yang masih relevan untuk jawatan itu dengan pengalaman 40 tahun dalam bola sepak. Ventura berkata:

“Saya kalah hanya 2 perlawanan dalam 2 tahun.”

Ventura hanya mengambil kira perlawanan kompetitif di pusingan kelayakan Piala Dunia. Sedangkan kumpulan itu hanya Sepanyol yang benar-benar kompetitif.

Mereka diletakkan dalam kumpulan yang turut ada Albania, Israel, Macedonia dan Liechtenstein. Harus diingat, Ventura kalah di tangan Perancis juga dalam perlawanan persahabatan.

Itali bergelut dengan isu taktikal dalam banyak perlawanan di bawah kendalian Ventura. Pemilihan pemain dan juga kesebelasan utama yang sering dipertikaikan.

Tidak memanggil pemain yang beraksi cemerlang sebagai merit kepada aksi mereka. Pemain seperti Florenzi dan Insigne terus menjadi stok simpanan. Florenzi hanya bermain ketika Verratti cedera.

De Rossi terus diturunkan walaupun sudah merosot aksinya kerana ‘peak’. Jorginho hanya diturunkan dalam perlawanan menentang Sweden kerana De Rossi kurang cergas.

Itupun Ventura mahu memasukkan De Rossi ketika pasukan beliau bergelut mencari kemenangan. De Rossi tidak mahu memanaskan badan dan mengarahkan pembantu jurulatih memasukkan Insigne.

Kini nama Carlo Ancelotti dikatakan akan menjadi pilihan utama FIGC.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN