FIFA mengumumkan semalam akan mengubah sistem ranking dunia dengan mengubah cara mata ranking tersebut dikira. Ia adalah untuk menghalang beberapa pasukan negara memanipulasi formula kiraan mata ranking FIFA ketika ini.
Perubahan tersebut diluluskan ketika mesyuarat Kounsel FIFA pada Ahad lepas. Perubahan ini dibuat untuk memastikan kedudukan ranking FIFA betul-betul mewakili kekuatan sesebuah pasukan.
Formula pengiraan mata ranking FIFA sebelum ini, yang diamalkan sejak 2006, mengundang kritikan ramai peminat bola sepak di Eropah terutamanya, kerana membenarkan sesetengah negara untuk menaikkan ranking FIFA mereka dengan tidak bermain perlawanan persahabatan.
Malah dalam sistem kiraan ranking FIFA sebelum ini, ranking sesebuah negara tetap boleh turun walaupun menang dalam perlawanan persahabatan.
Ini kerana dalam sistem kiraan ranking FIFA sebelum ini, sesebuah negara dihadiahkan lebih banyak mata berdasarkan keputusan perlawanan kompetitif. Ranking pula ditentukan bukan berdasarkan jumlah mata yang diperolehi – sebaliknya jumlah purata mata tahunan.
Selepas ini, sistem kiraan ranking sedia ada akan digantikan dengan menggunakan kaedah Elo. Formula ini akan menambah atau menolak mata dari jumlah mata sedia. Bukannya menggunakan purata mata tahunan seperti sebelum ini.
Formula kiraan kaedah Elo juga mengambilkira kepentingan sesebuah perlawanan di mana perlawanan persahabatan tidak akan lagi memberi banyak mata berbanding kejohanan pusingan akhir seperti Piala Dunia, EURO Championship dan di Asia Tenggara, Piala AFF Suzuki contohnya.
Sistem kiraan baru ini juga tidak menghukum mata ranking pasukan yang kalah dalam kejohanan pusingan akhir.
Bagaimana Wales, Switzerland, Romania, India dan Venezuela manipulasi sistem ranking FIFA
Sebelum kempen kelayakan Piala Dunia 2014, Wales berada di ranking FIFA ke-113, 1 tangga di bawah Faroe Islands. 3 tahun kemudian pada September 2017, Wales berada di ranking FIFA ke-13.
Peningkatan mendadak Wales ini disumbangkan oleh persembahan Gareth Bale – ayam tambatan mereka yang bermain di Real Madrid – dan beberapa pemain Wales lain yang bermain di English Premier League.
Tambahan pula, mereka berjaya layak sehingga ke peringkat separuh akhir EURO 2016 dan hanya kalah sekali dalam 10 perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018.
Tetapi satu lagi faktor besar yang menyumbang kepada peningkatan ranking FIFA Wales adalah; sejak perlawanan persahabatan menentang Belanda pada 4 Jun 2014, Wales langsung tidak mengatur sebarang perlawanan persahabatan selama 17 bulan.
Ini membuatkan ranking FIFA mereka naik mendadak sehingga layak memasuki Pot 1 kelayakan Piala Dunia 2018 – mengatasi Perancis dan Itali yang diundi dalam Pot 2.
Pada tahun 2016, Switzerland, Romania, Poland dan Venezuela juga antara negara yang mendapat manfaat dalam ranking FIFA apabila jarang-jarang bermain dalam perlawanan persahabatan. Wales kekal di ranking ke-12. Romania naik satu tangga ke ranking ke-38. Poland kekal di ranking ke-15. Venezuela juga kekal di ranking ke-58 dunia.
Sedangkan negara-negara yang rajin melakukan perlawanan persahabatan seperti Itali (8 perlawanan persahabatan pada tahun 2016) dan England (6 perlawanan persahabatan pada tahun 2016) langsung tidak berubah kedudukan rankingnya.
England kekal di ranking ke-13. Itali pula di ranking ke-16 dunia.
Tiga tahun lepas semasa kemaskini ranking FIFA bertarikh 12 Mac 2015, India berada di ranking ke-173, 20 tangga di bawah Malaysia yang berada di ranking ke-153. Kini India berada di tangga ke-97 dunia. Sementara itu India terperosok di tangga ke-171 dunia.
Bagaimanapun antara September 2016 hingga Mac 2017, India hanya bermain 1 perlawanan persahabatan iaitu kemenangan 4-1 ke atas Puerto Rico hingga melonjakkan ranking mereka dari kedudukan 152 ke 132.
Kemudian apabila India menang menentang Myanmar dan Kemboja pada Mac 2017, ia melonjakkan lagi ranking FIFA India ke tangga ke-100.
Seperti Wales, Switzerland, Romania, Poland dan Venezuela, kenaikan ranking dunia India bukanlah bergantung kepada kelemahan sistem kiraan ranking FIFA semata-mata. India tetap perlu menang perlawanan kelayakan Piala Dunia dan kelayakan Piala Asia mereka.
Dan untuk menang, mereka memerlukan pemain-epamin berkualiti seperti Sunil Chetri (gambar atas) dan Gurpreet Singh. Di sinilah bezanya India dengan Malaysia – yang juga jarang mengadakan perlawanan persahabatan tetapi tetap merosot rankingnya.
Ranking FIFA mengikut kiraan kaedah Elo
Ketika ini dalam ranking FIFA yang terkini, Jerman merupakan pasukan nombor satu dunia. Brazil di tempat kedua. Manakala Belgium di tempat ketiga.
Tetapi jika kita melihat ranking yang mengikut kiraan kaedah Elo, pasukan nombor satu di dunia ketika ini adalah Brazil. Jerman di tempat kedua. Manakala di tempat ketiga adalah Sepanyol. Belgium hanya berada di tempat ke-8.
Mengikut kaedah kiraan ranking lama, Malaysia pula berada di ranking ke-171 dunia. Tetapi mengikut kaedah kiraan Elo, Malaysia berada di ranking lebih teruk iaitu ke-184 dunia. Kesan segera perlaksanaan kiraan kaedah Elo ini akan dapat dilihat dalam kemaskini kiraan ranking FIFA pada 14 Jun 2018 nanti.
Dengan perlaksanaan kiraan kaedah Elo ini juga, ia bermakna usaha FAM baru-baru ini yang sudah mengatur 6 perlawanan persahabatan antara Julai hingga November 2018 nanti tidak akan memberikan banyak impak kepada perubahan ranking negara.
Enam Aksi Persahabatan Harimau Malaya Telah Disahkan
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini ingin memaklumkan…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Thursday, June 7, 2018
Walaupun begitu kita mengharapkan sekurang-kurangnya dengan adanya 6 perlawanan persahabatan ini, skuad Harimau Malaya akan tampil lebih bersedia menjelang kejohanan Piala AFF Suzuki pada Disember 2018 nanti. Persembahan cemerlang semestinya ditagih demi memastikan ranking skuad kebangsaan dapat diperbaiki.