Menurut laporan akhbar DNA India, kerajaan India melalui Kementerian sukan mereka merancang untuk mengadakan upacara pembukaan Piala Dunia B-17 seperti mana yang berlaku dalam Piala Dunia.
Namun idea itu tidak begitu mendapat perhatian daripada FIFA. India sudah menghantar surat jemputan kepada Presiden FIFA Gianni Infantino, namun beliau dilaporkan mungkin tidak akan hadir ke upacara itu.
Salah satu sebabnya ialah, Gianni Infantino tidak mahu India membelanjakan kos tambahan untuk Piala Dunia B-17. Ia sepatutnya lebih fokus kepada mencari bakat baru di dalam bola sepak.
Pengarah kejohanan Piala Dunia B-17, Javier Ceppi berkata:
“Upacara pembukaan bukanlah majlis yang menjadi sebahagian daripada Piala Dunia B-17. Ini kerana, dalam kejohanan ini, bola sepak adalah ‘bintang bergemerlapan’ yang sebenar.”
“Kami mendengar tentang cadangan kerajaan India ini. Namun mereka masih belum mengesahkan juga sama ada akan meneruskannya ataupun sebaliknya.”
India dijangka akan meneruskan cadangan itu kerana Menteri Sukan mereka Vijay Goel pada bulan lalu meberitahu yang persediaan untuk majlis pembukaan Piala Dunia B-17 sedang dipersiapkan.
Perdana Menteri India, Narendra Modi antara tetamu kehormat yang dijemput. Namun selepas kenyataan balas FIFA ini, jika upacara ini diteruskan, ia pastinya kurang lengkap tanpa Presiden ataupun wakil Presiden FIFA.
Beberapa penulis sukan di India setuju agar upacara pembukaan ini tidak diadakan. India tidak seharusnya terlalu memikirkan soal hiburan dengan alunan muzik dan tarian di dalam semua acara mereka.
Fokus seharusnya lebih kepada nilai sukan sahaja bukannya ‘showbiz’. Lagipun ia cuma kejohanan Piala Dunia B-17. Piala Dunia B-17 tahun akan dilangsungka dari 6 Oktober sehingga 28 Oktober hadapan.
Sumber