Fernando Hierro yang membimbing skuad Sepanyol sepanjang kempen Piala Dunia di Rusia telah melepaskan jawatan jurulatih dan mengesahkan turut tidak kembali sebagai Pengarah Sukan Persatuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).
Perlantikan Hiero sebelum ini adalah atas dasar sementara, selepas Julen Lopetegui dipecat dari jawatan tersebut beberapa hari sebelum sepak mula Piala Dunia di Rusia.
Bagaimanapun, cabaran Sepanyol di Rusia berakhir di peringkat pusingan 16 pasukan terbaik selepas disingkirkan oleh tuan rumah melalui penentuan sepakan penalti.
Menurut RFEF, Hierro yang kini berusia 50 tahun mahu mencari haluan baru.
Menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh badan induk bola sepak Sepanyol itu, bekas bintang Real Madrid itu enggan terus kekal bersama RFEF kerana mahukan cabaran profesional yang baharu.
Namun demikian tiada pengesahan daripada mana-mana pihak setakat ini sama ada Hierro bersedia untuk memegang jawatan pengurus di peringkat kelab.
Lopetegui telah dipecat sebagai pengurus Sepanyol di Piala Dunia, hanya dua hari sebelum La Roja berhadapan dengan Portugal setelah sebelum ini diumumkan bakal menyertai Real Madrid.
Lopetegui dilantik sebagai pengurus Sepanyol pada 2016 selepas persaraan Vicente del Bosque dan memiliki rekod perlawanan tanpa kalah bersama Sepanyol sehingga pemecatannya.
Hierro membawa Speanyol sebagai juara Kumpulan B setelah mengikat Portugal dalam perlawanan pertama, dan ketinggalan sebelum bangkit menewaskan Maghribi 2-1 melalui gol minit akhir.
Selepas disingkirkan oleh Rusia, Hierro menerima hakikat beliau harus bertanggungjawab atas kegagalan Sepanyol di Piala Dunia.
“Kami semua cuba memberikan yang terbaik, namun inilah hakikatnya di dalam bola sepak,” ujar beliau.