Masa kini, Marouane Fellaini merupakan antara pemain yang cukup penting buat Manchester United.
Hal ini dapat dilihat menerusi susuk fizikal beliau yang besar yang mampu menjadi penyerang tambahan apabila pasukan sedang memburu gol ketika sedang ketinggalan di minit-minit terakhir permainan.
Mungkin pada mulanya, beliau bukanlah pemain yang digemari oleh para peminat Manchester United. Namun kini, kewujudan beliau sudah mula diterima oleh para peminat mereka.
Tetapi, adakah Fellaini akan meninggalkan Manchester United dalam masa terdekat?
Untuk rekod, kontrak Fellaini bakal tamat pada hujung musim ini dan buat masa ini Manchester United sudah pun menawarkan lanjutan kontrak kepada beliau.
Akan tetapi, Fellaini dikatakan memilih untuk tidak melanjutkan kontraknya bersama Manchester United dengan mula berkira-kira untuk pergi menyertai liga di luar Eropah seperti di China.
Kemahuan Fellaini ketika ini pastinya mahukan kontrak yang mampu memberikan lebih wang kepada dirinya. Tetapi perkara itu tidak dipersetujui oleh Tim Sherwood.
Dalam rancangan The Debate terbitan Sky Sports, Sherwood berpendapat Fellaini seharusnya kekal di Old Trafford dengan menerima kontrak baharu.
“Jelas sekali ketika ini Fellaini mahukan lebih banyak wang. Tetapi ketika ini tiada pasukan yang boleh menawarkan wang yang lebih banyak kepadanya.”
Sherwood mempersoal tindakan Fellaini yang lebih memilih untuk menamatkan karier di tempat lain berbanding di Manchester United.
“Adakah beliau mahu tamatkan karier di China? Atau tamatkan karier di salah satu kelab utama di dunia iaitu Manchester United?”
“Bagi saya, eloklah Fellaini terima saja kontrak baharu yang ditawarkan oleh Manchester United.”
Apa kata anda? Patutkah Fellaini kekal di Manchester United?