Tiga pemain import Kelantan yang berasal daripada benua Afrika berazam mahu membuktikan kemampuan mereka dalam saingan Liga Premier 2020 yang dijangka membuka tirai tidak lama lagi.
Ketiga-tiga pemain tersebut adalah Felix Chidi Odili, Varney Kallon Kiatamba Jr. dan Rhulani Manzini yang melengkapkan senarai empat import selain Kang Seung-jo yang berhijrah dari Pulau Pinang.
Kang Seung-jo sudah diketahui kemampuannya apabila telah memimpin Pulau Pinang sehingga meraih tiket ke Liga Super sebelum ianya dirampas PDRM akibat pemotongan mata pada akhir musim.
Begitupun, pemain berasal dari Korea Selatan itu tidak disambung kontraknya selepas Harimau Kumbang memilih untuk merombak senarai pemain importnya untuk musim 2020.
`Manakala tiga pemain import daripada benua Afrika tersebut adalah wajah baharu Liga Malaysia dan kemampuan mereka akan teruji sama ada mampu membantu Kelantan ataupun tidak.
Felix Chidi Odili menjelaskan bahawa ketiadaannya dalam aksi persahabatan sebelum ini adalah atas masalah kesihatan dan kini sudah bersedia jika pengendali, Yusri Che Lah mahu mengujinya.
“Jurulatih tidak dapat menurunkan saya pada perlawanan persahabatan sebelum kerana kurang sihat. Namun, kali ini anda [penyokong] mungkin boleh menyaksikan sesuatu yang menarik daripada saya.
“Saya akan membanggakan anda semua,” laungan keyakinan pemain yang pernah beraksi bersama Neroca FC di I-League, India itu kepada media Kelantan FA.
“Barisan kejurulatihan telah menjalankan tugas dengan sangat baik terutama bagi memastikan kami semua berada dalam tahap kecergasan terbaik. Saya percaya kami akan berada pada prestasi terbaik menjelang sepak mula Liga Premier,” ujar Felix Chidi Odili.
Penyerang berusia 29 tahun itu turut pernah dinobat selaku penjaring terbanyak di divisyen dua, I-League dua musim berturut-turut iaitu pada musim 2015/16 dan 2016/17.
Felix Chidi Odili juga baru sahaja membantu Neroca FC meraih kedudukan ke-6 liga serta menjadi penjaring ketiga terbanyak di I-League dengan lapan gol dalam 20 aksi.
The Red Warrior sudah melalui beberapa aksi persahabatan setakat ini dan setakat ini impak kehadiran pemain-pemain import masih belum dirasai termasuk dalam aksi terbaru menentang Nara United.
Dalam aksi persahabatan malam tadi itu, Kelantan terikat 1-1 dengan Nara United selepas pemain muda negara, Nik Akif Syahiran berhasil meledak gol penyamaan pada minit ke-82.
Kredit Foto: Dunia Warriors