Kelab Bolasepak Felda United (FUFC) dan pelajar tahun akhir jurusan Pengurusan Sukan Universiti Malaya menjalinkan hubungan dalam menganjurkan acara larian ‘FUFC-UMazing Run 2019’.
Larian yang merupakan inisiatif projek tahun akhir bagi pelajar Universiti Malaya tersebut bakal berlangsung pada 27 April (Sabtu) ini.
Larian berkonsepkan ‘night fun run’ sejauh 5 kilometer itu akan bermula di Dataran Dewan Tunku Canselor (DTC) pada jam 8.30 malam dan cut-off time adalah sejam kemudian.
Laluan yang digunakan bagi menjayakan acara larian ini adalah kawasan sekitar Universiti Malaya seperti yang tertera di peta laluan di bawah.
Larian ini terbuka kepada pelbagai lapisan umur dan pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian dengan memuat turun aplikasi JomRun di Android dan IOS.
Jalinan kerjasama ini menjadikan Felda United sebagai kelab bola sepak tanah air pertama bekerjasama dengan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) bagi memeriahkan acara larian sekaligus menyemai gaya hidup sihat dan kesihatan fizikal yang baik.
Pengarah projek FUFC-UMazing Run 2019, Mohamad Ikram bin Mat Saad ketika dihubungi wakil Semuanya BOLA mengharapkan agar acara larian ini dapat memberikan manfaat buat masyarakarat dan juga Felda United.
”Harapan saya bagi aktiviti ‘night fun run’ yang dianjurkan oleh kami pelajar-pelajar Sains Pengurusan Sukan dapat membantu masyarakat untuk menjadi lebih aktif dan cergas dalam kehidupan.
”Sekaligus ia juga dapat menaikkan penjenamaan ‘The Fighters’ dalam arena sukan bola sepak di Malaysia.”
Diberitakan beberapa orang pemain Felda United juga akan turut serta bagi memeriahkan larian tersebut.
Untuk keterangan lebih lanjut mengenai larian ini ada boleh layari laman sesawang rasmi acara ini di www.jomrun.com.