Quantcast

BERITA

FELDA United Dan Perak Buru Khidmat Khairul Amri

Penyerang kelahiran Singapura, Khairul Amri Mohammad Kamal kini menjadi sasaran dua pasukan Liga Super iaitu FELDA United dan Perak untuk dibawa masuk bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan mereka.

Perkembangan itu disahkan sendiri oleh pengendali skuad The Fighters, Nidzam Jamil yang menyifatkan pemain itu mempunyai kualiti yang diperlukan bagi mengisi kuota pemain import Asia Tenggara.

Katanya dalam Stadium Astro, beliau berharap kehadiran Amri dapat membantu mengatasi masalah ketumpulan penyudah dalam perlawanan yang akan datang.

“Dia seorang pemain berpengalaman yang beraksi sebagai pemain kebangsaan Singapura dan merupakan sesuatu yang penting buat Felda.

“Dia turut berada di tahap terbaik selepas meledak tiga jaringan dalam saingan Liga Juara-Juara Asia,” kata Nidzam.

FOTO: FA Singapore

Khairul Amri yang kini beraksi untuk kelab Tampines Rovers dalam saingan Liga Singapura merupakan seorang pemain yang berpengalaman luas di pentas antarabangsa dan mempunyai 130 kaps bersama skuad kebangsaan Singapura.

Sepanjang mewakili negaranya, beliau telah merekodkan 37 gol dan menjuarai Piala AFF sebanyak tiga kali. Pada tahun 2015, beliau membantu skuad Lions XII menjuarai Piala FA buat pertama kali dalam sejarah.

Selain FELDA United, pengendali Perak, Mehmet Durakovic dikatakan turut berminat untuk mendapatkan khidmat pemain yang berusia 34 tahun itu bagi menggantikan tempat Gilmar Da Silva yang gagal mempamerkan prestasi seperti yang diharapkan.

“Kami akan berbincang dengan pihak pengurusan dalam membincangkan pemain yang mahu dibawa masuk bagi memperkuatkan skuad Perak,” kata Durakovic.