Sebentar tadi FELDA United telah tampil dengan penjelasan dalam satu kenyataan yang disiarkan di laman media sosial kelab bola sepak tersebut bagi menjawab tuduhan sikap sambil lewa pengurusan kelab bola sepak berkenaan untuk mendapatkan lesen.
Walaupun gagal memperolehi lesen untuk meneruskan saingan di Liga Super pada musim hadapan, kelab yang mendapat jolokan nama The Fighters menafikan mereka bersikap sambil lewa dalam permohonan tersebut.
Kali ini pihak pengurusan The Fighters menjelaskan bahawa mereka yakin telah melengkapkan segala kriteria dan dan dokumen yang diperlukan.
Namun demikian Timbalan Presiden Kelab Bola Sepak FELDA United (FUFC), Datuk Mohd Isa Abu Kasim berkata mereka akur dengan ketetapan dan penyingkiran kelab tersebut ke saingan 100PLUS Liga Premier pada musim hadapan, dan berharap ia tidak akan menjejaskan moral pasukan.
Dalam kenyataan tersebut, Datuk Mohd Isa dipetik sebagai berkata:
“FUFC memandang serius tentang keputusan Perkongsian Liabiliti Terhad Bola Sepak Malaysia (FMLLP) yang tidak membenarkan FELDA United untuk beraksi dalam saingan Liga Super 2018 kerana tiada lesen kelab.”
“Pengurusan kecewa tetapi akur dengan keputusan tersebut dan tekad untuk memberikan saingan terbaik dalam Liga Perdana bagi memastikan FELDA United kembali ke saingan Liga Super 2019.”
“FELDA United menyangkal dakwaan sesetengah pihak yang menuduh pasukan tidak melakukan audit bagi kewangan kelab. Sebenarnya FELDA United sangat komited dan menyokong penuh pelaksanaan Perlesenan Kelab Liga Malaysia dalam usaha ke arah pengurusan bola sepak yang profesional.”
Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menyalahkan kelab bola sepak tersebut sendiri kerana gagal melengkapkan segala dokumen berkaitan sehingga melangkaui tarikh tutup yang diberikan oleh badan induk bola sepak negara itu.
FELDA United dikatakan gagal melengkapkan keperluan F.02, Penyata Kewangan Untuk Tempoh Interim yang direviu (tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2017) yang perlu memenuhi keperluan pendedahan minimum dan prinsip perakaunan serta perlu direviu atau diaudit oleh juruaudit bebas serta mesti merangkumi reviu kewangan oleh pengurusan.
Bagaimanapun FELDA United menegaskan sudah menghantar semula Laporan Kewangan Interim (Pengurusan Akaun) yang telah disahkan oleh juruaudit selepas menerima arahan untuk berbuat demikian oleh FAM.
Datuk Mohd Isa turut menambah:
“Kegagalan untuk mendapat lesen kelab ini tidak bererti pengurusan FELDA United bersikap sambil lewa dan tidak menghormati mana-mana pihak terbabit.
“FELDA United juga tidak pernah gagal mengaudit akaun serta sentiasa menjaga kebajikan pemain dan tidak pernah menghadapi masalah gaji, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).”
Susulan kegagalan The Fighters memperolehi Lesen Kelab FAM, Negeri Sembilan bersama PKNP FC telah dinaikkan ke pertandingan Liga Super pada musim hadapan, setelah T-Team FC turut menarik diri untuk bersaing di 100Plus Liga Premier sebagai Terengganu II.