Nama pemain sayap lincah Malaysia iaitu Fazrul Amir terus meraih pujian peminat walaupun skuad kebangsaan merekodkan kekalahan di tangan Thailand pada aksi ketiga Asean Championship 2024 semalam.
Turun tanpa sebarang pengharapan tinggi peminat, nyata Harimau Malaya berjaya memberikan aksi cukup menyakinkan sepanjang perlawanan berlangsung di gelanggang lawan.
Meskipun bermula sedikit perlahan dengan pasukan pelawat lebih banyak menerima asakan daripada Thailand, secara perlahan-lahan Malaysia kembali bangkit mengimbangi perlawanan.
Malah, ada beberapa situasi menyaksikan Harimau Malaya jauh mendominasi perlawanan terutama di bahagian tengah untuk memberi ancaman kepada pasukan tuan rumah.
Di posisi serangan, Pau Marti Vicente meletakkan gandingan Fazrul Amir bersama Haqimi Azim serta Endrick dos Santos setelah beberapa rombakan terpaksa dibuat jurulatih utama itu.
Hasilnya, beberapa kali pertahanan Thailand tampil goyah untuk menyerap asakan pelawat menerusi kelincahan telah dipamerkan oleh siri serangan negara terutama sekali membabitkan Fazrul Amir.
Pertahanan Thailand iaitu Nicholas Mickelson beberapa kali terperangkap akan kelincahan Fazrul yang menyaksikan pemain tuan rumah itu tidak begitu bebas membantu serangan.
Walau tidak meledak sebarang gol, kelincahan pemain Kelantan Darul Naim (KDN) itu menjadi tumpuan peminat yang memuji kualiti Fazrul daripada segi kelincahan serta kerajinan beliau membantu mengimbangi pertahanan serta serangan negara.
Malah, Fazrul juga mencipta kombinasi yang baik bersama Adib Raop di sebelah kiri menerusi kelincahan serta kerap bertukar hantaran dalam usaha untuk memecahkan blok pertahanan tuan rumah.
Sesekali, aksi yang dipamerkan oleh Fazrul mengingatkan penulis kepada Faisal Halim walaupun masih banyak lagi perlu diperbaiki beliau di pentas antarabangsa.
Selain tahap keyakinan beliau yang semakin meningkat di atas padang bersama rakan sepasukan lain, apa perlu diperbaiki Fazrul mungkin kepada keberanian beliau melepaskan rembatan ke arah gawang gol lawan.
Selebihnya, mungkin Fazrul perlu lebih pantas berfikir untuk membuat keputusan pada jangka masa singkat ketika memiliki bola selain meningkatkan lagi stamina di atas padang.
Kami percaya, pada suatu masa Fazrul mungkin boleh mencipta sensasi besar buat bola sepak Malaysia selain meningkatkan lagi pasaran semasa untuk menjadi sandaran utama pasukan kebangsaan.
Bagaimana pula pandangan anda?